TRANSFORMASI DIGITAL SABAH MESTI PACU AGENDA SMJ, MANFAATKAN SELURUH RAKYAT – HAJIJI

sabahheadlines
4 Min Read

KOTA KINABALU, 25 November – Pelaksanaan transformasi digital di Sabah perlu bergerak seiring dengan agenda pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi memperkukuh ekonomi, membangunkan modal insan, meningkatkan infrastruktur serta menjamin kesejahteraan rakyat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, transformasi digital tidak seharusnya dilaksanakan secara terasing, sebaliknya perlu menjadi pemangkin kepada pelaksanaan pembangunan negeri yang lebih berkesan dan menyeluruh.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan perasmian Sidang Kemuncak Digital Sabah 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini. Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun.

Menurut Hajiji, kemajuan teknologi perlu diterjemahkan kepada peluang ekonomi yang lebih luas, penyampaian perkhidmatan awam yang cekap serta peningkatan taraf hidup rakyat.

Katanya, aspirasi digital Sabah bukan bertujuan menggantikan kekuatan sedia ada negeri itu, termasuk kekayaan hutan, sumber marin, tanah pertanian dan biodiversiti, sebaliknya meningkatkan nilai, memperkukuh pengurusan serta memastikan kelestarian sumber berkenaan untuk generasi akan datang.

Beliau turut menyifatkan kedudukan strategik Sabah dalam Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) sebagai peluang untuk negeri ini memperkukuh peranannya sebagai hab perdagangan serantau dan pusat pertukaran pengetahuan.

Bagaimanapun, kelebihan itu perlu disokong infrastruktur yang kukuh, tenaga kerja berkemahiran tinggi serta pelaburan yang bertanggungjawab.

Menyentuh penggunaan kecerdasan buatan (AI), Hajiji berkata, teknologi berkenaan perlu dimanfaatkan secara berhemah, bertanggungjawab dan berfokus kepada penyelesaian masalah sebenar rakyat.

“Nilai AI bukan sekadar terletak pada penggunaan teknologi baharu, tetapi keupayaannya menyelesaikan masalah sebenar, sama ada melalui penyampaian perkhidmatan yang lebih baik, peningkatan produktiviti, perancangan berasaskan maklumat atau kesiapsiagaan menghadapi bencana,” katanya.

Beliau berkata, keutamaan transformasi digital negeri turut merangkumi pengkomputeran awan, keselamatan siber, kerajaan digital, kelestarian alam sekitar serta perdagangan rentas sempadan.

Sehubungan itu, beliau berharap sidang kemuncak berkenaan menjadi platform kerjasama praktikal dalam mengenal pasti projek berimpak tinggi yang boleh dilaksanakan, dinilai dan diperluaskan untuk manfaat negeri.

Dalam pada itu, Hajiji menegaskan kejayaan agenda digital Sabah perlu diukur berdasarkan sejauh mana manfaatnya dapat dinikmati seluruh lapisan masyarakat, termasuk penduduk di kawasan luar bandar.

Katanya, keterangkuman digital bukan sekadar menyediakan liputan rangkaian, tetapi turut memerlukan bekalan elektrik yang stabil, perkhidmatan mampu milik, peranti bersesuaian, kemahiran praktikal serta kandungan yang memenuhi bahasa dan keperluan masyarakat tempatan.

Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama antara sekolah, institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), universiti termasuk Universiti Malaysia Sabah (UMS) serta pihak industri dalam melahirkan generasi muda sebagai pencipta, tenaga profesional dan usahawan teknologi.

Selain itu, pekerja dan pemilik perusahaan kecil perlu terus diberikan sokongan untuk menguasai kemahiran baharu bagi menghadapi perubahan landskap pekerjaan.

Mengenai pelaburan, Hajiji berkata, kerajaan negeri komited memudah cara proses pelaburan, memperkukuh hubungan dengan pihak industri serta menangani halangan pelaksanaan bagi meningkatkan keyakinan pelabur.

Katanya, Sabah bukan sekadar mengharapkan suntikan modal, sebaliknya mengutamakan pelaburan strategik jangka panjang yang turut menyumbang kepada pembangunan bakat tempatan, pengukuhan perusahaan anak negeri serta pemindahan pengetahuan dan teknologi.

Share This Article