SARANAN GRS, BN DAN PH KEKAL BEKERJASAMA HADAPI PRU16 BUKTI HAJIJI PEMIMPIN BERJIWA BESAR – NAJIB TAY

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU,23 November – Pendirian Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor untuk mengekalkan kerjasama politik antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) disifatkan sebagai pendekatan matang yang mencerminkan kepimpinan berjiwa besar.

Presiden Persatuan Kebajikan Santun Kasih Sabah (PERSANTUN), Datuk Najib Tay Abdullah berkata, pendirian Hajiji yang juga Pengerusi GRS itu memperlihatkan visi politik yang terbuka tanpa prejudis, selain mengutamakan keseimbangan kuasa di peringkat negeri dan Persekutuan.

Menurutnya, tiada isu politik kenegerian atau nasional yang perlu dibangkitkan dalam perkara berkenaan memandangkan keutamaan ketika ini adalah memastikan kestabilan pentadbiran kerajaan negeri terus dipelihara sebagai persediaan menghadapi PRU16.

Katanya, kerajaan perpaduan Sabah ketika ini dibentuk menerusi kerjasama pemimpin GRS, BN dan PH selain parti-parti sekutu lain.

“Dengan saranan kerjasama itu akan diteruskan pada PRU16 nanti, saya melihat itulah Hajiji yang sebenar kerana mengambil kira kepentingan Sabah di peringkat negeri dan nasional.

“Ia juga menunjukkan beliau seorang yang berjiwa besar dalam politik kerana mengetepikan sentimen dinamika politik di Semenanjung dan mahu melihat parti yang membentuk kerajaan Sabah pada hari ini terus bersatu,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, Hajiji ketika menghadiri satu majlis di Kota Kinabalu semalam menyatakan kesediaan untuk mengekalkan kerjasama antara GRS, BN dan PH dalam kerajaan negeri bagi memastikan kestabilan politik Sabah terus terpelihara.

Beliau berkata, GRS ditubuhkan bagi memenuhi aspirasi rakyat Sabah yang mahukan sebuah kerajaan yang kukuh serta sentiasa mengutamakan kepentingan negeri.

“Kita mahu stabil. Kalau kita mahu stabil, kita kena bekerjasama dengan apa yang ada dalam kerajaan sekarang. Kerjasama kita dengan PH dan BN ini akan kita teruskan dalam Pilihan Raya Umum dan juga Pilihan Raya Negeri yang akan datang,” katanya.

Share This Article