KUDAT,22 November – Operasi pemantauan dan memburu buaya di sekitar Kampung Semayan, Pulau Banggi terus dipergiatkan susulan tragedi seorang murid Tahun Tiga berusia sembilan tahun yang maut dipercayai dibaham reptilia berbahaya itu pada 10 November lalu.
Operasi bersepadu yang dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Jabatan Hidupan Liar Sabah itu bertujuan mengesan serta membanteras ancaman buaya khususnya di kawasan sungai yang dikenal pasti berisiko kepada penduduk setempat.
Ketua Polis Daerah Kudat, Superintenden Mohd Harris bin Ibrahim (dalam gambar)berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 3.30 petang sebelum bergegas ke lokasi bersama pasukan penyelamat dan penduduk kampung bagi melaksanakan operasi mencari dan menyelamat.
Menurutnya, mayat mangsa ditemukan kira-kira jam 8 malam pada hari kejadian dengan kesan gigitan dipercayai buaya di bahagian kepala dan bahu.
Beliau berkata demikian ketika bercakap kepada media sempena program Community Policing di Kampung Semayan,Pulau Banggi baru-baru ini.
Katanya,kes berkenaan diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut atau Sudden Death Report dan siasatan masih diteruskan.
Sehubungan itu, kerjasama dengan Jabatan Hidupan Liar Sabah diperkukuhkan menerusi operasi pemantauan dan membanteras buaya di sekitar lokasi kejadian bagi mengurangkan risiko serangan berulang.
Bagaimanapun, usaha mengesan reptilia berkenaan bukan sesuatu yang mudah berikutan keluasan kawasan Pulau Banggi serta kewujudan banyak anak sungai yang bersambung terus ke laut.
Keadaan itu menjadi cabaran kepada pasukan penguat kuasa untuk mengesan pergerakan buaya sekali gus memerlukan pemantauan berterusan dan kerjasama antara agensi berkaitan.
Sementara itu bapa mangsa, Nur Zahid bin Jonan (dalam gambar) berkata, beliau yang ketika kejadian berada di laut bergegas pulang selepas dimaklumkan mengenai insiden menimpa anaknya.
Beliau turut menyertai penduduk kampung melakukan pencarian di sungai sebelum menemukan anaknya ketika usaha pencarian diteruskan.
Dalam pada itu, beliau berharap kerajaan dapat mengambil tindakan sewajarnya bagi menangani ancaman buaya di kawasan berkenaan demi keselamatan penduduk khususnya kanak-kanak.
Tragedi itu bukan sahaja meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga mangsa malah meningkatkan kebimbangan penduduk terhadap keselamatan ketika menjalankan aktiviti berhampiran sungai.
Justeru, operasi bersepadu PDRM dan Jabatan Hidupan Liar Sabah diharap dapat diteruskan serta dipertingkatkan bagi memastikan kawasan berisiko dipantau dan ancaman reptilia berbahaya itu dapat ditangani.
