KUDAT,22 November – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup kira-kira 7,000 liter minyak diesel bersubsidi selepas menahan sebuah bot pancing kira-kira tiga batu nautika selatan Pulau Maliangin Kecil, malam tadi.
Penahanan bot berkenaan dilakukan oleh bot operasi Maritim Malaysia menerusi Ibu Pejabat Maritim Zon Kudat hasil maklumat risikan yang membawa kepada pemeriksaan ke atas bot terbabit.
Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan dipercayai menggunakan tangki simpanan yang telah diubah suai selain ruang kargo sedia ada bagi membawa muatan diesel bersubsidi berkenaan.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM33,000.
Pemeriksaan lanjut turut mendapati dokumen pengenalan diri kedua-dua kru bot berkenaan diragui dan memerlukan pengesahan lanjut.
Dua kru lelaki berusia 50 dan 47 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.
Pengarah Ibu Pejabat Maritim Zon Kudat, Komander Maritim Hasbullah bin Omar berkata, kejayaan operasi itu hasil maklumat risikan serta kecekapan anggota operasi mengesan taktik penyeludupan menggunakan struktur bot yang telah diubah suai untuk menyembunyikan dan membawa muatan bahan api bersubsidi.
Menurutnya, Maritim Malaysia akan terus mempergiat rondaan dan pemantauan di perairan Kudat bagi mengekang aktiviti penyeludupan serta memastikan laluan laut negara tidak dieksploitasi untuk kegiatan menyalahi undang-undang.
Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Imigresen 1959/63.
