SANDAKAN, 9 OKT – Sandakan bakal menjadi tumpuan peminat muzik dari dalam dan luar negara apabila kumpulan pop-rock terkenal Indonesia, D’Masiv dijadual mengadakan konsert di Kompleks Sukan Sandakan pada 18 Oktober ini sekali gus membuka peluang baharu untuk merancakkan industri hiburan dan pelancongan di Pantai Timur Sabah.
Penganjuran konsert oleh The Elupora Hotel itu bukan sahaja dijangka menarik kehadiran peminat muzik malah berpotensi memberi limpahan ekonomi kepada peniaga tempatan menerusi peningkatan aktiviti perniagaan, penginapan, pengangkutan dan sektor perkhidmatan.
Lebih daripada sekadar persembahan muzik, acara berkenaan turut menjadi platform untuk menghubungkan bakat tempatan dengan penggiat seni Indonesia selain membuka ruang kepada anak muda Sandakan menimba pengalaman dalam produksi muzik berskala besar.
D’Masiv yang ditubuhkan pada 3 Mac 2003 di Ciledug Jakarta, Indonesia, terkenal dengan lagu-lagu popular seperti Cinta Ini Membunuhku, Merindukanmu, Jangan Menyerah dan Diantara Kalian.
Sepanjang lebih dua dekad dalam industri muzik, kumpulan itu berjaya membina kelompok peminat tersendiri menerusi karya pop-rock yang terus mendapat tempat dalam kalangan pendengar di Indonesia dan rantau ini.
Kehadiran D’Masiv di Sandakan diharap dapat memperkukuh kedudukan bandar itu sebagai destinasi penganjuran acara hiburan serta kebudayaan sekali gus membuktikan potensinya untuk menarik acara berskala lebih besar pada masa hadapan.
Dari sudut pelancongan, konsert berkenaan menyasarkan kehadiran pengunjung dari Indonesia, Brunei dan pelbagai kawasan lain di Malaysia.
Kehadiran pelancong berkenaan berpotensi meningkatkan permintaan terhadap kemudahan hotel, restoran, pengangkutan, pusat membeli-belah serta produk pelancongan tempatan.
Pengunjung juga berpeluang meneroka keunikan Sandakan menerusi sajian makanan tempatan, lokasi bersejarah, warisan budaya dan tarikan alam semula jadi yang terdapat di daerah itu.
Dalam pada itu, penganjuran konsert berkenaan turut menyediakan peluang perniagaan kepada usahawan tempatan menerusi penyediaan ruang gerai jualan dari 16 hingga 18 Oktober ini.
Peluang itu membolehkan peniaga mempromosikan serta menjual pelbagai produk dan perkhidmatan, termasuk makanan dan minuman, kraftangan, fesyen, cenderamata serta produk berkaitan pelancongan.
Inisiatif berkenaan diharap dapat memastikan manfaat ekonomi daripada penganjuran acara itu turut dinikmati komuniti perniagaan setempat, khususnya perusahaan kecil dan sederhana.
Selain aspek hiburan dan ekonomi, konsert itu turut membawa mesej persahabatan serta pertukaran budaya antara Malaysia dan Indonesia menerusi muzik yang mampu merentasi sempadan bahasa dan geografi.
Orang ramai khususnya peminat D’Masiv dialu-alukan menghadiri konsert berkenaan di Kompleks Sukan Sandakan pada 18 Oktober ini bagi memeriahkan acara yang diharapkan menjadi antara tarikan hiburan utama di Pantai Timur Sabah.
