DEEPAVALI BUKAN SEKADAR PERAYAAN TETAPI SEBAGAI WADAH PENYATUAN KOMUNITI

sabahheadlines
2 Min Read

LAHAD DATU,22 November – Persatuan Gabungan Komuniti India Sabah (GKIS) meneruskan tradisi menganjurkan sambutan Deepavali menerusi program Deepavali Kondhattam yang menghimpunkan masyarakat India dari beberapa daerah di Sabah.

Presidennya, Datuk A. Nagaraju berkata, program tahunan itu menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim selain memberi peluang kepada komuniti India berkumpul, bertukar-tukar pandangan dan meraikan perayaan Deepavali dalam suasana penuh kemeriahan.

Menurutnya, sambutan tahun ini diadakan di dua lokasi iaitu di Lahad Datu dan Sandakan Yacht Club.

Katanya, pemilihan dua lokasi berkenaan mengambil kira faktor jarak perjalanan dan logistik bagi memudahkan penyertaan komuniti India dari daerah berbeza tanpa perlu menempuh perjalanan jauh.

“Pendekatan itu turut membolehkan lebih ramai anggota komuniti menyertai sambutan berkenaan berbanding menghimpunkan semua peserta di satu lokasi sahaja’,katanya kepada Media pada masjlis Deepavali Kondhatam yang diadakan di Faridah Hanum Grand Hall di sini pada malam sabtu.

Sementara itu, beliau menganggarkan jumlah komuniti India di Sabah kini sekitar 15 ribu orang meliputi kawasan Lahad Datu, Tawau, Sandakan dan Kota Kinabalu.

Beliau berharap komuniti India akan terus memainkan peranan dalam memperkukuh keharmonian masyarakat majmuk serta mengekalkan hubungan baik dengan kaum lain di negeri ini.

Nagaraju turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri atas perhatian dan sokongan yang diberikan kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum.

Share This Article