BATU SAPI, 14 November – Risiko kemalangan bukan hanya mengancam ketika seseorang berada di tempat kerja, malah boleh berlaku pada bila-bila masa termasuk ketika berada di rumah.
Menyedari hakikat itu, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mempergiat usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap Skim Lindung 24 Jam yang menyediakan perlindungan bagi kemalangan bukan bencana kerja.
Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, program penerangan yang dilaksanakan di kawasan itu bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai pelbagai produk dan perkhidmatan PERKESO, termasuk manfaat perlindungan yang boleh dinikmati pencarum.
Menurutnya, Skim Lindung 24 Jam merupakan antara inisiatif penting yang perlu diketahui masyarakat kerana ia melindungi pencarum daripada risiko kemalangan yang berlaku di luar waktu dan tempat kerja, termasuk di rumah.
Katanya, individu yang mengalami kecederaan akibat kemalangan bukan berkaitan pekerjaan berpeluang membuat tuntutan bagi mendapatkan faedah serta pampasan, tertakluk kepada syarat dan kelayakan skim berkenaan.
“Skim Lindung 24 Jam ini sudah berkuat kuasa pada 1 Jun tahun ini dan kita mahu memperluaskan hebahan supaya lebih ramai masyarakat mengetahui serta memilih untuk mencarum skim berkenaan,” katanya ketika ditemui media.
Beliau berkata, kepentingan skim itu turut dibuktikan menerusi pembayaran tuntutan oleh PERKESO yang mencecah hampir RM20 juta bagi kes kemalangan di bawah skim berkenaan.
Tambahnya, usaha meningkatkan kesedaran masyarakat memerlukan kerjasama bersepadu antara pihak kementerian dan agensi di bawahnya, khususnya menerusi pendekatan pendidikan serta penyampaian maklumat secara berterusan.
Menurutnya, program penerangan secara langsung kepada masyarakat merupakan antara pendekatan terbaik bagi memastikan lebih ramai memahami fungsi dan manfaat perlindungan sosial yang disediakan PERKESO.
Beliau turut menyifatkan Skim Lindung 24 Jam sebagai satu inisiatif yang membawa manfaat besar kepada masyarakat, khususnya golongan suri rumah yang turut berdepan risiko kemalangan ketika melakukan aktiviti harian.
Justeru, beliau berharap lebih ramai penduduk mengambil peluang mendapatkan maklumat lanjut dan memanfaatkan skim berkenaan bagi memastikan mereka mempunyai perlindungan sosial ketika berdepan risiko kemalangan.
