KOTA KINABALU, 6 November – Komander Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Datuk Victor Sanjos dijangka dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah yang baharu, menggantikan Datuk Jauteh Dikun yang bakal bersara wajib pada 11 November ini.
Pemilihan Victor difahamkan dibuat oleh pengurusan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) berdasarkan prestasi serta kekananan beliau dalam perkhidmatan kepolisan.
Majlis serah terima tugas antara kedua-duanya dijangka berlangsung pada 10 November ini.
Jauteh bakal menamatkan perkhidmatan selepas lebih 32 tahun menabur bakti dalam pasukan polis.
Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau pernah memegang pelbagai jawatan penting sebelum diberi kepercayaan menerajui Kontinjen Sabah sebagai Pesuruhjaya Polis.
