SANDAKAN | 5 NOVEMBER – Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah terus mempergiatkan usaha penguatkuasaan undang-undang imigresen menerusi pelaksanaan Program Pemindahan Tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) serta operasi bersepadu bagi membanteras kegiatan warga asing yang melanggar peraturan imigresen.
Pada 5 November 2026, seramai 802 tahanan PATI warganegara Filipina telah dipindahkan pulang ke negara asal melalui Pelabuhan Sandakan menuju ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina menggunakan kapal MV Antonia 1.
Daripada jumlah tersebut, seramai 501 lelaki dewasa, 127 perempuan dewasa, 93 kanak-kanak lelaki dan 81 kanak-kanak perempuan terlibat dalam program pemindahan berkenaan. Kesemua tahanan berasal dari Depot Imigresen Kota Kinabalu dan Depot Imigresen Papar.
Pada hari yang sama, seramai 107 tahanan warganegara Indonesia turut dihantar pulang melalui Pelabuhan Tawau ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia menggunakan perkhidmatan feri komersial.
Menurut Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha binti Habib Yussof, sehingga 5 November 2026, seramai 8,405 tahanan PATI pelbagai warganegara telah dipindahkan pulang ke negara asal masing-masing sepanjang tahun ini.
Dalam perkembangan berasingan, Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah turut melaksanakan OPS SERKAP di Kota Kinabalu pada 4 November 2026, hasil risikan dan pemantauan selama kira-kira seminggu.
Operasi yang melibatkan 49 pegawai penguat kuasa itu berjaya menahan 14 lelaki warga China berusia antara 26 hingga 44 tahun di sebuah rumah banglo tiga tingkat yang dipercayai menjadi lokasi aktiviti penipuan dalam talian.
Hasil pemeriksaan mendapati 13 individu disyaki melakukan kesalahan tinggal lebih masa di Malaysia di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, manakala seorang lagi disyaki berada di negara ini tanpa pas atau permit yang sah di bawah Seksyen 6(1)(c) akta yang sama.
Pihak penguat kuasa turut merampas wang tunai RM3,742 dan CNY560, sebanyak 14 unit komputer riba, 75 telefon bimbit, 13 kerusi, enam meja serta peralatan internet yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti di premis berkenaan.
Jabatan Imigresen Malaysia menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan terus dipergiatkan tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen, termasuk majikan yang melindungi pekerja asing tanpa dokumen atau permit sah.
Masyarakat khususnya rakyat Sabah turut diseru supaya menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan bagi membantu membendung kegiatan PATI dan jenayah yang boleh menjejaskan keselamatan serta kesejahteraan negara.
Oleh: Jalie Mohamad
Sabah Headlines
