LAHAD DATU, 5 November – Potensi pelancongan Lahad Datu perlu terus diperkasakan menerusi kerjasama semua pihak bagi memastikan daerah itu mampu muncul sebagai antara destinasi pilihan pelancong domestik dan antarabangsa.
Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Dr. Haji Mohammad Yusof Apdal menerusi wakilnya, Pegawai Perhubungan, Haji Salleh Jainani berkata, beliau menyokong sepenuhnya penganjuran Mistical Bayu 2026 yang dilihat mampu menjadi platform untuk memperkenalkan keunikan serta potensi pelancongan daerah berkenaan.
Menurutnya, Lahad Datu mempunyai pelbagai lokasi menarik dan keistimewaan tersendiri yang berpotensi dibangunkan sebagai produk pelancongan namun masih memerlukan promosi lebih meluas untuk menarik perhatian pengunjung.
Katanya, berdasarkan pemerhatian, sektor pelancongan Lahad Datu masih belum mendapat perhatian setanding beberapa destinasi lain di Sabah seperti Kota Kinabalu, Kundasang di Ranau, Semporna dan Kinabatangan.
Beliau berkata, Semporna misalnya menjadi antara tumpuan pelancong dari Korea Selatan, China dan Jepun, manakala Kinabatangan pula menarik kehadiran pelancong dari Eropah dan Amerika Syarikat.
Sebaliknya, Lahad Datu masih memerlukan usaha promosi lebih agresif bagi meningkatkan pengiktirafan serta menarik lebih ramai pelancong antarabangsa ke daerah itu.
Sehubungan itu, beliau berharap pengamal media dan penggiat media sosial dapat memainkan peranan lebih aktif dalam mengetengahkan keistimewaan serta tarikan pelancongan Lahad Datu kepada masyarakat luar.
Beliau berkata, publisiti yang lebih meluas penting bagi memastikan Lahad Datu tidak terus ketinggalan dalam persaingan industri pelancongan negeri.
Tambahnya, pembangunan sektor pelancongan bukan sahaja mampu meningkatkan daya tarikan daerah itu, malah berpotensi merancakkan ekonomi setempat serta membuka lebih banyak peluang pendapatan kepada masyarakat.
Beliau turut berharap kerjasama antara penganjur, komuniti tempatan, pengusaha pelancongan dan pengamal media dapat diteruskan bagi mengangkat Lahad Datu sebagai destinasi pelancongan berpotensi di Sabah.
