BOMBA PUJUK REMAJA PEREMPUAN TERKUNCI DALAM BILIK BERSAMA PISAU

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA MARUDU, 2 November — Pasukan Bomba berjaya memujuk dan menyelamatkan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang terkunci di dalam sebuah bilik bersama sebilah pisau dalam kejadian cubaan bunuh diri di Kota Marudu, pagi ini.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 10.18 pagi sebelum menggerakkan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) bersama lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu ke lokasi kejadian.

Pasukan bomba tiba di lokasi tujuh kilometer dari balai pada jam 10.26 pagi dan mendapati mangsa berada di dalam sebuah bilik dalam keadaan terkunci serta dipercayai membawa sebilah pisau.

Pasukan bomba kemudian berusaha memujuk mangsa bagi menenangkan keadaan.

Mangsa bagaimanapun cuba keluar melalui tingkap di bahagian belakang bilik.

Anggota bomba seterusnya naik ke bahagian bumbung berhampiran tingkap berkenaan untuk meneruskan usaha memujuk mangsa serta memastikan keselamatannya.

Usaha itu berhasil apabila mangsa berjaya ditenangkan dan berada dalam keadaan terkawal pada jam 10.55 pagi.

Mangsa kemudian diserahkan kepada ahli keluarganya dalam keadaan baik dan selamat pada jam 11.05 pagi.

Menurut maklumat ahli keluarga, kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dengan adik-beradiknya.

Operasi yang turut dibantu dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.05 pagi selepas mangsa diserahkan kepada keluarganya.

Share This Article