ADUN SG MANILA SERU KESEDARAN KANSER PAYUDARA DIPERTINGKAT MENERUSI PROGRAM PINKTOBER

sabahheadlines
1 Min Read

SANDAKAN, 31 Oktober – Kesedaran mengenai kanser payudara perlu terus dipertingkat menerusi penglibatan aktif masyarakat dalam program advokasi dan aktiviti kesihatan bagi menggalakkan pengesanan awal serta meningkatkan kefahaman mengenai penyakit itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila, Datuk Dr. Haji Hazem Mubarak bin Tun Musa, berkata sambutan menggalakkan terhadap program Fun Run Pinktober 2026 membuktikan sokongan masyarakat terhadap usaha meningkatkan kesedaran mengenai kanser payudara.

Beliau yang juga Pengerusi Sawit Kinabalu berkata, program bersempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara itu bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat malah menjadi platform untuk menyemarakkan solidariti masyarakat terhadap usaha memerangi penyakit berkenaan.

Menurutnya, penyertaan lebih 300 peserta dalam larian santai sejauh lima kilometer (5KM) itu mencerminkan penerimaan positif masyarakat terhadap kempen kesedaran berkenaan.

Beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan setiap tahun pada bulan Oktober yang turut dikenali sebagai Pinktober dengan penyertaan lebih ramai masyarakat pada masa akan datang.

Katanya, usaha berterusan melalui program kesedaran seperti itu penting bagi memastikan mesej mengenai kanser payudara terus disampaikan kepada masyarakat.

Terdahulu Hazem menyempurnakan Pelepasan Peserta Fun Run Pinktober 2026 yang menghimpunkan lebih 300 peserta di sekitar Dewan Masyarakat Sandakan dalam usaha menyokong kempen kesedaran kanser payudara.

Share This Article