PDRM LAKSANA LATIH AMAL BENCANA TSUNAMI DI LAHAD DATU 4 NOVEMBER

sabahheadlines
2 Min Read

LAHAD DATU, 29 Oktober – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan Program Latih Amal Bencana Tsunami menerusi Latihan Simulasi Meja (TTX) dan Latihan Lapangan (FTX) di Zon Lahad Datu pada 4 November ini.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Haji Dzulbaharin Haji Ismail berkata, latihan itu melibatkan Kampung Telisai, Tungku, Pulau Sakar dan Teluk Darvel.

Latihan berkenaan bertujuan menilai kesiapsiagaan operasi, memperkemas mekanisme komunikasi serta memperkukuh penyelarasan dan kerjasama antara agensi dalam menghadapi bencana tsunami.

Sehubungan itu orang ramai dimaklumkan bahawa pergerakan anggota keselamatan, kenderaan kecemasan serta aktiviti mencari dan menyelamat di lokasi terlibat adalah sebahagian daripada simulasi yang dirancang dan bukan kejadian tsunami sebenar.

Beberapa jalan dan kawasan terlibat juga akan ditutup sementara bagi memastikan keselamatan orang ramai serta kelancaran latihan.

Orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi arahan petugas, merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan laluan alternatif yang ditetapkan.

Dalam pada itu, orang ramai turut diingatkan agar tidak menyebarkan berita palsu, spekulasi atau gambar dan video latihan dengan keterangan tidak tepat yang boleh menimbulkan kekeliruan serta kebimbangan awam.

Sebarang maklumat berkaitan latihan itu hendaklah dirujuk kepada saluran rasmi PDRM bagi memastikan kesahihannya.

PDRM merakamkan penghargaan atas kerjasama orang ramai dalam mematuhi arahan keselamatan bagi memastikan latihan berkenaan berjalan lancar, teratur dan berkesan.

Share This Article