TIGA GUDANG PLASTIK MUSNAH DALAM KEBAKARAN DI PENAMPANG, 12 KENDERAAN TURUT TERBAKAR

sabahheadlines
2 Min Read

PENAMPANG, 23 Oktober – Tiga blok gudang penyimpanan plastik musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Mogoputi Industrial Park, Fasa 2, di sini, malam tadi.

Kebakaran itu turut memusnahkan 12 kenderaan yang terdiri daripada empat van, tiga kenderaan pacuan empat roda, dua lori Isuzu lima tan, sebuah motosikal, sebuah Perodua Viva dan sebuah Mitsubishi Triton.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.29 malam menerusi talian NG999.

Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang tiba di lokasi pada jam 10.33 malam, kira-kira empat minit selepas menerima panggilan, sebelum mendapati kebakaran melibatkan tiga blok gudang plastik jenis kekal.

Setiap blok gudang berkeluasan kira-kira 100 x 30 kaki persegi dan dilaporkan terbakar 100 peratus.

Susulan skala kebakaran, bantuan anggota dan jentera dari BBP Kota Kinabalu serta BBP Putatan turut digerakkan bagi membantu operasi pemadaman.

Operasi melibatkan seramai 29 anggota bomba daripada ketiga-tiga balai berkenaan, dengan bantuan tujuh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dua anggota Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Kerja-kerja pemadaman dilakukan menggunakan dua aliran dan tiga pancutan dengan bekalan air diperoleh daripada jentera bomba serta pili bomba berhampiran.

Kebakaran berjaya dikawal pada jam 12.32 tengah malam sebelum pasukan bomba meneruskan kerja-kerja overhaul bagi memastikan tiada lagi punca bahaya atau bara api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.16 pagi.

Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih belum dinyatakan dalam laporan awal JBPM.

Share This Article