SANDAKAN, 17 Oktober – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sabah terus memperkasa komuniti setempat menerusi Program Kampung Angkat Madani dengan memberi penekanan kepada kebersihan persekitaran, perpaduan masyarakat dan kesiapsiagaan menghadapi kecemasan serta bencana.
Pengarah APM Negeri Sabah, Mohd Yusoff Samad berkata, inisiatif berkenaan bukan sahaja membantu memenuhi keperluan komuniti, malah menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran penduduk mengenai kepentingan kesiapsiagaan menghadapi sebarang ancaman kecemasan dan bencana.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan aktiviti gotong-royong membersihkan Tanah Perkuburan Islam Kampung Bokara, Sandakan, pada 17 Oktober 2026.
Menurutnya, aktiviti gotong-royong turut memupuk semangat kerjasama dan mengeratkan silaturahim antara penduduk pelbagai generasi, selain memperkukuh hubungan antara komuniti dengan agensi kerajaan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Bokara, Jarinah Sudin berkata, program tersebut memberi manfaat dalam meningkatkan kerjasama antara penduduk dan agensi kerajaan.
Ketua Kampung Bokara, Nordin Abidin pula menzahirkan penghargaan atas pemilihan kampung berkenaan sebagai Kampung Angkat Madani, yang membuka ruang kepada pelaksanaan pelbagai aktiviti bermanfaat untuk masyarakat setempat.
Program itu turut mendapat sambutan positif daripada penduduk, termasuk pesara kerajaan, Muhd Jifri Ibrahim dan Pegawai Perhubungan di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Batu Sapi, Azhar Santong, yang menyifatkan aktiviti berkenaan sebagai usaha memperkukuh perpaduan dan kerjasama komuniti.
Program Kampung Angkat Madani APM itu turut menyaksikan gimik penyerahan mesin rumput baharu bagi membantu kerja-kerja penyelenggaraan dan pembersihan kawasan kampung.
