KOTA KINABALU,23 JULAI-Sabah melakar sejarah apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) meluluskan dua Rang Undang-Undang (RUU) penting yang disifatkan sebagai titik perubahan dalam landskap perundangan negeri iaitu RUU Pewarisan Orang Islam 2026 dan RUU Mahkamah Anak Negeri 2026 sekali gus memperkukuh sistem keadilan syariah serta institusi kehakiman adat di Sabah.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah merangkap EXCO Agama Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, RUU Pewarisan Orang Islam 2026 mencipta sejarah sebagai undang-undang pertama di Malaysia yang digubal khusus bagi menguruskan harta pusaka orang Islam di bawah punca kuasa dan bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Menurutnya, penggubalan undang-undang itu menyediakan kerangka perundangan yang menyeluruh berasaskan hukum syarak bagi memastikan pengurusan harta pusaka dilaksanakan secara teratur, adil dan mematuhi syariah.
Katanya, pengurusan harta pusaka bukan sekadar melibatkan pembahagian harta malah merupakan tuntutan fardu kifayah yang membabitkan hak si mati, hak waris serta tuntutan agama.
“RUU ini memastikan setiap fasa pengurusan daripada penentuan waris, pelunasan hutang, pelaksanaan wasiat sehingga pembahagian faraid dilaksanakan secara adil, saksama dan patuh syariah.
“Saya ingin menegaskan bahawa RUU ini mencipta sejarah tersendiri. Ini merupakan undang-undang pertama di Malaysia yang khusus berkaitan pengurusan harta pusaka orang Islam di bawah punca kuasa dan bidang kuasa Mahkamah Syariah.
“RUU ini turut memberi kejelasan perundangan kepada mualaf untuk menguruskan harta mereka lebih awal dengan menggalakkan perancangan harta semasa hidup melalui instrumen hibah, hadiah, wasiat atau apa-apa kaedah yang dibenarkan syarak,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Persidangan DUN Sabah di sini, pada rabu.
Pada persidangan sama, DUN Sabah turut meluluskan RUU Mahkamah Anak Negeri 2026 yang bertujuan memperkukuh institusi Mahkamah Anak Negeri menerusi kerangka perundangan yang lebih komprehensif, moden dan tersusun.
Mohd Arifin berkata, pembaharuan itu diperlukan memandangkan enakmen sedia ada telah berkuat kuasa sejak 1992 dan perlu disesuaikan dengan keperluan semasa.
Menurutnya, sistem kehakiman adat perlu diperkasakan tanpa menjejaskan identiti, keunikan serta amalan adat masyarakat Anak Negeri Sabah.
“RUU berkenaan bukan bertujuan mengubah, menyeragamkan atau menghapuskan adat, sebaliknya memperkemaskan institusi dan tatacara pentadbiran keadilan adat supaya pelaksanaannya menjadi lebih teratur, adil serta diyakini masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, kelulusan kedua-dua RUU itu mencerminkan komitmen Kerajaan Sabah dalam memperkukuh sistem perundangan negeri melalui pendekatan yang menghormati prinsip syariah serta memelihara warisan adat dan budaya masyarakat berbilang kaum di Sabah.
