KUDAT,18 Oktober – Peningkatan hasil negeri Sabah sehingga mencecah RM7 bilion setahun perlu diterjemahkan kepada pembangunan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat khususnya dalam menangani masalah asas seperti bekalan air, jalan raya dan elektrik.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata kestabilan politik dan kewangan negeri perlu dimanfaatkan untuk mempercepat pembangunan, menarik pelaburan serta merancang masa depan Sabah bagi tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang.
Beliau yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, kestabilan kerajaan tidak bermakna sekiranya masalah rakyat gagal diselesaikan.
“Kerajaan dan politik yang stabil tiada nilainya jika isu rakyat gagal diselesaikan. Rakyat mengundi kita untuk mencari penyelesaian, bukan untuk mendengar alasan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Konvensyen GRS 2026 di Dewan Tun Mustapha, di sini, hari ini.
Hajiji berkata, kerajaan negeri sedang melaksanakan pelbagai projek pembangunan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) termasuk 173 projek Jabatan Kerja Raya (JKR) dan 77 projek berkaitan bekalan air.
Projek berkenaan merangkumi pembinaan serta penaiktarafan jambatan dan jalan raya selain pembangunan loji rawatan air dan sistem bekalan air di seluruh negeri.
Bagaimanapun katanya, pelaksanaan projek memerlukan masa kerana perlu melalui proses reka bentuk, pengambilan tanah, tender dan pembinaan.
Beliau memberi jaminan kerajaan negeri akan meneruskan usaha menyelesaikan masalah infrastruktur yang telah berlarutan sejak sekian lama.
Dalam pada itu, Hajiji berkata, kerajaan turut meneruskan pelbagai inisiatif pendidikan dan kebajikan bagi memastikan hasil pembangunan dapat dinikmati semua lapisan masyarakat.
Peruntukan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) katanya, meningkat daripada RM55 juta pada 2021 kepada RM155 juta pada 2026 manakala hampir 480,000 pelajar menerima manfaat daripada pelbagai bentuk bantuan dan insentif pendidikan.
Kerajaan juga meneruskan Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) dan inisiatif Rumah Mesra SMJ dengan sebanyak 11,000 rumah telah dan sedang dibina setakat ini.
Hajiji menegaskan pembangunan ekonomi dan kebajikan rakyat perlu bergerak seiring bagi memastikan kemajuan Sabah turut dirasai penduduk di kawasan desa dan pedalaman.
