KOTA KINABALU, 30 SEPT – Lima individu termasuk seorang penjawat awam dan empat pemilik syarikat dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu hari ini atas pertuduhan mengemukakan dokumen dan invois yang didakwa mengandungi maklumat palsu berkaitan kerja-kerja baik pulih rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Sabah.
Kesemua Orang Kena Tuduh (OKT) mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Yang Arif Andi Razalijaya A Dadi. Kes dikendalikan Pegawai Pendakwaan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), PsK Dzulkarnain Rousan bin Hasbi.
Ashar bin Usman, 45, pemilik Asyikin Enterprise berdepan satu pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 kerana didakwa mengemukakan invois bernilai RM14,933 berkaitan kerja baik pulih PPRT yang didakwa tidak mengikut Bill of Quantities (BQ). Beliau dibenarkan jaminan RM10,000 dengan deposit RM3,000 dan seorang penjamin tempatan.
Shariff bin Wahya, 55, pemilik SW Global dan SW Global Venture turut berdepan satu pertuduhan mengikut Seksyen 18 akta sama membabitkan dokumen Pesanan Belian bernilai RM14,999 yang didakwa berkaitan kerja baik pulih PPRT tidak mengikut spesifikasi ditetapkan. Beliau dikenakan jaminan RM10,000 dengan deposit RM1,000 dan seorang penjamin tempatan.
Sementara itu, Kenidi bin Musa, 41, pemilik Nur Enterprise berdepan lima pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 membabitkan lima invois bernilai antara RM14,996 hingga RM14,998 setiap satu. Beliau dibenarkan jaminan RM15,000 dengan deposit RM5,000 dan dua penjamin tempatan.
Mohd Nur bin Musa, 42, pemilik Alyanazmi Enterprise pula menghadapi lima pertuduhan di bawah Seksyen 18 akta sama berkaitan Pesanan Belian bernilai antara RM14,934 hingga RM15,000 dengan sebahagian kerja baik pulih PPRT didakwa tidak dilaksanakan atau tidak menepati BQ. Beliau dikenakan jaminan RM15,000 dengan deposit RM5,000 dan seorang penjamin tempatan.
Turut didakwa ialah Aidah binti Mustapha, 54, Pembantu Tadbir di Jabatan Pertanian Negeri Sabah, Seksyen Pengembangan Pertanian Tuaran yang berdepan 10 pertuduhan. Empat pertuduhan adalah di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 berkaitan dokumen dan invois CD Family Enterprise yang didakwa mengandungi pernyataan palsu manakala enam lagi mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan kerana didakwa menggunakan dokumen palsu sebagai tulen.
Kesemua OKT turut diperintahkan melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat sebulan sekali menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mendekati saksi pendakwaan. Aidah diwakili peguam Jessica Ombou manakala empat OKT lain tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 28 Oktober 2026 untuk pengurusan kes selanjutnya. Jika sabit kesalahan, pertuduhan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi manakala Seksyen 471 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
