SPRM TAHAN DUA INDIVIDU DISYAKI MINTA & TERIMA RASUAH RM18,000

sabahheadlines
1 Min Read

KOTA KINABALU, 24 SEPT – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan dua lelaki termasuk seorang penjawat awam dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang disyaki meminta serta menerima rasuah kira-kira RM18,000 sebagai balasan memudahkan operasi perlombongan emas sebuah syarikat di salah sebuah daerah di negeri ini.

Kedua-dua suspek yang berusia lingkungan 60-an itu ditahan kira-kira jam 10 pagi semalam ketika hadir memberikan keterangan di Pejabat SPRM Kota Kinabalu.

Menurut sumber siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai bersubahat melakukan perbuatan berkenaan sekitar 2024 dan 2025.

Mereka juga disyaki menerima wang rasuah secara tunai bagi membantu memudahkan urusan berkaitan operasi perlombongan emas berkenaan.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan kedua-dua individu terbabit.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan 17(b) Akta SPRM 2009.

Kedua-dua suspek dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu pada 28 September ini.

Siasatan lanjut masih dijalankan bagi melengkapkan kertas siasatan berhubung kes berkenaan.

Share This Article