DARI TAMBUNAN KE PENTAS ASIA, ADEOLA FAY ROBERT HADIAHKAN EMAS PERTAMA MALAYSIA

sabahheadlines
1 Min Read

KOTA KINABALU,23 SEPT – Anak jati Tambunan, Adeola Fay Robert mencipta sejarah apabila menghadiahkan pingat emas pertama buat kontinjen Malaysia pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 sekali gus mengharumkan nama Sabah di pentas sukan Asia.

Adeola meraih emas dalam acara Kumite Wanita Bawah 55 kilogram (kg) selepas menewaskan wakil Iran, Fatemehzahra Saeidabadi dengan keputusan 6-4 pada perlawanan akhir.

Kejayaan itu turut mendapat perhatian dan ucapan tahniah daripada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menerusi hantaran di laman Facebook rasminya.

Hajiji menyifatkan pencapaian Adeola sebagai sesuatu yang amat membanggakan khususnya kepada rakyat Sabah selepas atlet berkenaan berjaya membawa nama negeri dan negara ke pentas antarabangsa.

Menurutnya, kejayaan Adeola membuktikan bakat anak-anak Sabah mampu mencapai tahap lebih tinggi apabila diberikan peluang, sokongan serta ruang untuk berkembang dalam bidang sukan.

Adeola sebelum ini turut mencuri tumpuan apabila membantu skuad kumite berpasukan wanita Sabah meraih pingat emas pada SUKMA XXII Selangor.

Pencapaian terbaharu itu sekali gus memperlihatkan perkembangan konsisten atlet muda berkenaan yang kini melangkah lebih jauh dengan membawa cabaran Malaysia di pentas Asia.

Kejayaan Adeola turut menjadi sumber inspirasi kepada golongan muda Sabah untuk terus mengejar impian dan mengembangkan potensi dalam bidang sukan.

Share This Article