LAHAD DATU, 23 SEPT – Sebuah bot nelayan pukat jerut bilis ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Lahad Datu kerana disyaki melanggar syarat sah lesen perikanan ketika menjalankan aktiviti menangkap ikan di perairan Kunak, semalam.
Pengarah Maritim Zon Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata bot berkenaan ditahan kira-kira jam 12.35 tengah hari pada kedudukan sekitar 0.8 batu nautika timur laut Pulau Burong, Madai Kunak.
Menurut beliau, bot terbabit dikesan sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan seperti ditetapkan dalam syarat lesen perikanan.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan dikendalikan seorang tekong warga tempatan berusia 42 tahun bersama tiga awak-awak warga Filipina berusia antara 21 hingga 41 tahun,” katanya.
Kesemua individu terbabit turut didapati memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
Kes berkenaan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana disyaki melanggar syarat sah lesen perikanan dengan menjalankan aktiviti menangkap ikan di luar kawasan yang dibenarkan.
Maritim Malaysia Zon Lahad Datu menegaskan operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan semua pengusaha dan nelayan mematuhi syarat lesen serta peraturan perikanan yang ditetapkan.
Langkah itu penting bagi memastikan kelestarian sumber perikanan selain menjamin keselamatan dan ketenteraman perairan negara.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah maritim atau memerlukan bantuan kecemasan di laut boleh menghubungi WhatsApp Pusat Operasi Zon Lahad Datu di 016-930 5727 atau Talian Kecemasan 999.
