2,800 ITEM SAMPAH DITEMUI DALAM 100 METER PANTAI MELANTA TUTUP

sabahheadlines
2 Min Read

SEMPORNA, 20 SEPT – Sebanyak 2,800 lebih item sampah berjaya direkodkan dalam aktiviti Trash Analysis sempena International Coastal Cleanup Day 2026 di Pantai Melanta Tutup, Semporna sekali gus mendedahkan dominasi sampah plastik di kawasan pesisir berkenaan.

Aktiviti anjuran PUSPABUMI bersama Reef Check Malaysia itu mengumpulkan sebanyak 41 beg sampah seberat 254.43 kilogram daripada kawasan pantai sepanjang 100 meter yang dibersihkan.

Analisis mendapati botol minuman plastik menjadi sampah paling banyak ditemui dengan 1,852 unit jauh mengatasi kategori sampah lain yang direkodkan.

Selain itu, sebanyak 136 serpihan foam berukuran kurang daripada 2.5 sentimeter, 135 unit sudu, garpu dan pisau, 113 unit piring serta cawan kertas dan 83 unit plastik atau tapak makanan dan minuman turut dikutip.

Antara item lain yang direkodkan termasuk 79 penutup botol, 75 bungkus makanan, 63 tin minuman, 40 tapak makanan foam dan 39 barangan plastik lain.

Penemuan itu menunjukkan penggunaan minuman dalam botol plastik sekali guna menjadi antara penyumbang utama kepada sampah yang mencemari kawasan pantai, selain bahan pembungkus makanan dan barangan pakai buang.

Penganjur berkata, analisis sampah bukan sekadar mengukur jumlah kutipan malah membantu mengenal pasti jenis sampah yang paling banyak mencemari ekosistem pesisir serta keperluan mengurangkan penggunaannya dalam kehidupan seharian.

Sebanyak 254.43 kilogram sampah yang dikutip dari hanya 100 meter kawasan pantai itu turut memberi gambaran terhadap cabaran pencemaran yang dihadapi ekosistem pesisir dan laut.

PUSPABUMI bersama Reef Check Malaysia turut menegaskan komitmen untuk meneruskan usaha menjaga kebersihan pantai dan melindungi ekosistem laut Semporna demi kelestarian alam sekitar untuk generasi akan datang.

Share This Article