LAHAD DATU,16 SEPT – Ribuan pengguna jalan raya Lahad Datu-Tawau berdepan gangguan perjalanan apabila laluan di Jalan Silam terputus hampir dua jam selepas air sungai melimpah susulan hujan lebat.
Keadaan itu menyebabkan kenderaan dari kedua-dua arah tidak dapat melalui laluan berkenaan, dengan sebahagian pengguna dilaporkan terkandas sehingga hampir jam enam petang.
Tinjauan di lokasi mendapati air mula surut dan kenderaan dibenarkan melalui laluan berkenaan secara perlahan.
Air sungai dipercayai melimpah ke atas jalan berikutan saluran aliran air yang kecil, sebelum kontraktor projek Lebuhraya Pan Borneo mengambil tindakan menggali serta meluaskan saluran berkenaan bagi melancarkan aliran air.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbahrin Ismail ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima makluman mengenai kejadian itu.
Beliau berkata anggota polis telah diarahkan ke lokasi bagi mengawal lalu lintas serta memantau keadaan di kawasan terbabit.
Menurutnya, setakat jam 6.30 petang, kenderaan sudah mula boleh melalui laluan berkenaan selepas paras air sungai kembali surut.
Dzulbahrin pada masa sama menasihatkan pengguna jalan raya supaya meningkatkan kewaspadaan ketika melalui kawasan terbabit, terutama ketika hujan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
