SANDAKAN, 14 SEPT – Taktik sindiket menyeludup minyak masak bersubsidi menggunakan bot pada awal pagi gagal apabila Maritim Malaysia menahan sebuah bot yang membawa 1,020 paket minyak masak bersubsidi di perairan Sungai Tanjung Batu, semalam.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Zon Sandakan, Komander Maritim Ahmad Firdaus bin Shaari berkata, kejayaan itu hasil rondaan dan pemantauan berterusan menerusi Op Sejahtera, Op Cegah PATI (OCP) dan Op Tiris 4.0.
Beliau berkata, bot berkenaan dikesan dalam keadaan mencurigakan kira-kira jam 5 pagi sebelum dipintas di kedudukan kira-kira 0.01 batu nautika barat laut Sungai Tanjung Batu.
Katanya, ketika pasukan operasi menghampiri bot itu, seorang lelaki dipercayai tekong bertindak memecut laju menuju ke sungai sebelum memasuki kawasan bakau dan melarikan diri.
“Hasil pemeriksaan menemukan 60 bungkusan mengandungi minyak masak bersubsidi dengan anggaran keseluruhan 1,020 paket.
“Turut ditemukan dua enjin sangkut Yamaha masing-masing berkuasa 75 kuasa kuda dan 85 kuasa kuda,” katanya.
Menurutnya, bot bersama muatan berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membawa barang kawalan tanpa permit atau kebenaran sah.
Kesemua barang rampasan bersama bot yang dianggarkan bernilai RM60,550 dibawa ke Jeti Ibu Pejabat Maritim Zon Sandakan sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
Ahmad Firdaus berkata, cubaan sindiket menjalankan kegiatan penyeludupan dalam jumlah kecil menunjukkan mereka sentiasa mencari peluang untuk mengaburi pihak berkuasa.
“Maritim Malaysia akan terus mempertingkatkan rondaan dan operasi penguatkuasaan secara berterusan tanpa mengira masa bagi membanteras kegiatan penyeludupan serta memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara,” katanya.
