MUTIARA GRS TERUS PRIHATIN, SANTUNI PESAKIT COTI DAN SYUKBAH WANITA

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU, 8 SEPT – Keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan terus menjadi keutamaan Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS) menerusi Program Santunan Kasih yang memberi tumpuan kepada pesakit terlantar serta kebajikan wanita.

Program anjuran Biro Kebajikan MUTIARA GRS itu disempurnakan isteri Ketua Menteri Sabah merangkap Yang Dipertua MUTIARA GRS, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag di Kota Kinabalu, hari ini.

Menerusi program berkenaan, MUTIARA GRS menyampaikan sumbangan kepada Syukbah Hal Ehwal Wanita Masjid Bandaraya Kota Kinabalu berupa cek bernilai RM3,000 selain dua unit katil hospital elektrik (Electric Hospital Bed) dan dua unit kerusi roda jenis Heavy Duty Reclining Wheelchair.

Sumbangan berkenaan diharap dapat membantu meningkatkan kemudahan serta memberi keselesaan kepada golongan wanita yang memerlukan khususnya dalam urusan kebajikan dan penjagaan.

Dalam program sama MUTIARA GRS turut menziarahi serta menyantuni pesakit di bawah jagaan Care of Terminally Ill (COTI) di Tanjung Aru.

Pesakit berkenaan menerima sumbangan wang tunai, bakul makanan serta barangan keperluan harian termasuk lampin pakai buang dan susu.

Program Santunan Kasih itu mencerminkan komitmen berterusan MUTIARA GRS dalam memperkasa agenda kebajikan masyarakat khususnya membantu golongan yang berdepan cabaran kesihatan selain memastikan kebajikan mereka terus diberi perhatian.

Usaha seumpama itu juga diharap dapat meringankan beban penerima serta menyemarakkan semangat keprihatinan dan saling membantu dalam kalangan masyarakat.

Share This Article