LAHAD DATU.1 SEPT – Dua kejadian kemalangan jalan raya berasingan yang berlaku di daerah ini dalam tempoh kurang daripada 24 jam telah meragut nyawa empat orang, menjadikan jalan raya di daerah itu kembali menjadi lokasi kebimbangan serius keselamatan pengguna jalan raya.
Kejadian pertama berlaku pada 31 Ogos lalu, kira-kira jam 8:25 pagi di KM 18 Jalan Lahad Datu–Tawau, melibatkan sebuah trak pikap jenama Isuzu D-Max dan sebuah motosikal jenama Yamaha.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Hj Dzulbaharin Bin Hj Ismail berkata,siasatan awal mendapati trak pikap yang dipandu oleh seorang lelaki berumur 31 tahun bersama seorang penumpang berumur 30 tahun sedang bergerak dari arah Lahad Datu menuju ke Tawau.
Di satu selekoh, motosikal yang ditunggang seorang lelaki berumur 23 tahun dari arah bertentangan dipercayai memasuki lorong bertentangan ketika cuba memotong sebuah kereta Proton Saga di hadapannya.
Jarak yang terlalu dekat menyebabkan pemandu trak tidak sempat mengelak lalu berlaku perlanggaran.
Penunggang motosikal terjatuh di bawah trak dan kedua-dua kenderaan terbabas ke bahu kanan jalan.
Penunggang motosikal berumur 23 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu dan penumpang trak tidak tercedera.
Dalam kejadian berasingan pada hari yang sama, kira-kira jam 8:00 malam satu lagi kemalangan maut berlaku di KM 46 Jalan Lahad Datu–Tungku melibatkan sebuah kereta Proton Saga yang dipercayai terbabas sendiri.
Kereta itu dinaiki tiga orang lelaki dan sedang dalam perjalanan dari Tungku menuju ke Lahad Datu.
Di lokasi kejadian, kenderaan itu dipercayai hilang kawalan kemudian terbabas ke bahu kiri jalan dan melanggar sebatang tiang elektrik.
Ketiga-tiga mangsa tercampak keluar dari kenderaan manakala kereta itu pula terjatuh ke dalam gaung di sebelah jalan.
Tiga mangsa yang terkorban dikenali sebagai seorang lelaki dewasa (belum dikenal pasti identiti), seorang berumur 18 tahun dan seorang lagi berumur 17 tahun,kesemuanya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Pemeriksaan menemui kesan tayar sepanjang kira-kira 20 meter di bahu jalan dan pihak Bomba mengesahkan tiada mangsa lain terperangkap di dalam kereta yang terjatuh ke gaung itu.
Kedua-dua kes sedang disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Humaidi bin Harun di talian 089-881255 atau terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu.
Dzulbaharin menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati, mematuhi had laju, tidak memotong di kawasan berbahaya serta memastikan kenderaan dalam keadaan baik sebelum bergerak.
