HOPS SEKOLAH LAHAD DATU SEDIA MAKLUMAT PENDIDIKAN, PENGAJIAN LANJUT DAN KERJAYA

sabahheadlines
2 Min Read

LAHAD DATU, 14 OGOS-Unit Pengurusan Sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Lahad Datu akan menganjurkan Hari Terbuka HOPS Unit Pengurusan Sekolah pada 12 September ini bagi menyediakan platform kepada masyarakat mendapatkan maklumat serta khidmat rundingan berkaitan pendidikan, pengajian lanjut dan kerjaya.

Program bertemakan “Memperkasa Pendidikan, Mendekati Komuniti” itu akan berlangsung dari jam 8 pagi hingga 4.30 petang di Dewan Besar Sekolah Yuk Chin, Lahad Datu dengan slogan “Satu Hari, Seribu Peluang”.

Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Sektor Pengurusan Sekolah, Aziz bin Haji Sarail berkata program berkenaan bertujuan memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan, agensi kerajaan, sektor swasta dan komuniti setempat.

Menurutnya, Hari Terbuka HOPS turut menjadi platform pertukaran maklumat dan perkongsian berkaitan laluan pendidikan, peluang melanjutkan pengajian, pembangunan kerjaya serta perkhidmatan sokongan yang tersedia kepada pelajar dan masyarakat.

“Program ini memberi peluang kepada pelajar, ibu bapa dan komuniti mendapatkan maklumat secara terus daripada pelbagai agensi serta organisasi yang terlibat dalam bidang pendidikan, kewangan dan pembangunan kerjaya,” katanya.

Pelbagai aktiviti disediakan sepanjang program itu termasuk pameran pendidikan, perkhidmatan agensi kerajaan, perkhidmatan kewangan, persembahan, aktiviti interaktif serta khidmat rundingan dan bimbingan.

Pelbagai agensi dan organisasi daripada sektor pendidikan, kerajaan, kewangan, pusat tuisyen serta sektor swasta turut dijangka membuka reruai masing-masing bagi memberikan maklumat dan khidmat nasihat kepada pengunjung.

Selain itu, pengunjung berpeluang menyertai cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik sepanjang program berlangsung.

PPD Lahad Datu mengalu-alukan penyertaan orang ramai, khususnya pelajar dan ibu bapa untuk memanfaatkan peluang berkenaan dalam mendapatkan maklumat berkaitan sumber pendidikan, peluang pengajian serta perancangan kerjaya.

Program itu turut diharap dapat memperluas jaringan kerjasama antara komuniti dengan agensi berkaitan sekali gus membantu membuka lebih banyak peluang pendidikan dan pembangunan kepada generasi muda di daerah berkenaan.

PPD pula memainkan peranan penting dalam memantau dan menyelaras pengurusan pendidikan di daerah, termasuk aspek pendidikan prasekolah, rendah dan menengah, penempatan guru, pengurusan data murid serta pentadbiran sekolah.

Share This Article