BEAUFORT, 7 OGOS – Jenazah tiga anggota polis yang maut akibat renjatan elektrik ketika mengait buah kelapa di luar Balai Polis Weston, petang semalam akan dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing di Sarawak, Kelantan dan Terengganu hari ini selepas selesai proses bedah siasat di Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintenden Champin Piuh berkata kesemua jenazah kini ditempatkan di Jabatan Perubatan Forensik HQE bagi menjalani proses bedah siasat dan dokumentasi sebelum dibawa pulang dengan diiringi pegawai khas dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort bagi urusan pengebumian.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang semalam, ketiga-tiga mangsa yang Koperal Chiu Teck Siong, 40(Sarawak) Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29 (Kelantan) dan Lans Koperal Muhammad Raimi Ismarubee, 26(Terengganu) disahkan meninggal dunia selepas terkena renjatan elektrik ketika menggunakan galah besi sepanjang kira-kira 29 kaki untuk mengait buah kelapa.
Menurut Champin, kejadian berlaku apabila galah besi yang digunakan hilang kawalan ketika cuba dialihkan dan diturunkan sebelum terjatuh ke arah bertentangan pokok kelapa.
“Akibatnya, galah besi itu terkena kabel elektrik utama milik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) menyebabkan arus elektrik berkuasa tinggi mengalir melalui galah berkenaan dan merentap ketiga-tiga mangsa,” katanya.
Beliau berkata, keadaan kawasan kejadian yang merupakan tanah gambut serta bertakung air dipercayai turut meningkatkan kesan renjatan elektrik terhadap mangsa.
Kejadian berlaku di luar Balai Polis Weston berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Weston.
Sebaik selesai urusan bedah siasat dan dokumentasi, ketiga-tiga jenazah akan dibawa pulang ke negeri asal masing-masing untuk dikebumikan dengan penghormatan yang sewajarnya.
Turut hadir menzahirkan rasa simpati dan memberi sokongan moral kepada keluarga mangsa ialah Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias, Datuk Isnin Aliasnih serta ADUN Lumadan, Datuk Ruslan Muharam.
Kehadiran mereka di lokasi kejadian mencerminkan keprihatinan terhadap tragedi yang menimpa ketiga-tiga anggota polis berkenaan.
Dalam kunjungan itu mereka turut menyampaikan sumbangan ikhlas kepada waris mangsa sebagai tanda simpati dan bagi membantu meringankan beban yang ditanggung keluarga.
