LAHAD DATU, 5 OGOS – Kegiatan menyeleweng subsidi diesel BUDI MADANI yang dipercayai dilakukan secara sistematik oleh pekerja sebuah stesen minyak di sini akhirnya terbongkar selepas siasatan pihak polis mendedahkan modus operandi menggunakan nombor MyKad pelanggan tanpa pengetahuan mereka untuk mendapatkan diesel pada harga subsidi.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Haji Dzulbaharin Haji Ismail berkata, polis menerima laporan daripada seorang mangsa yang mendapati kuota subsidi diesel BUDI MADANI miliknya telah digunakan sebanyak empat kali tanpa kebenaran membabitkan keseluruhan 43.01 liter di sebuah stesen minyak di daerah ini.
Menurut beliau, hasil risikan dan siasatan yang dijalankan membawa kepada penahanan dua lelaki dan seorang wanita warga tempatan yang merupakan pekerja stesen minyak berkenaan bagi membantu siasatan.
“Siasatan mendapati suspek menggunakan modus operandi dengan mencatat nombor MyKad pelanggan yang membuat pengisian diesel bersubsidi. Nombor tersebut kemudiannya digunakan semula melalui kata laluan penyelia dalam sistem BUDI MADANI tanpa memerlukan MyKad fizikal.
“Apabila pelanggan lain membuat pengisian diesel tanpa subsidi, suspek memasukkan nombor MyKad milik individu lain bagi membolehkan pembelian dibuat pada harga subsidi sebelum mengaut keuntungan secara tidak sah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, suspek utama didakwa di Mahkamah Majistret Lahad Datu hari ini (rabu)di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan atas empat pertuduhan menyalahgunakan nombor MyKad milik orang lain bagi tujuan penggunaan subsidi BUDI MADANI.
Tertuduh mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan serta empat sebatan dengan semua hukuman penjara diperintahkan berjalan secara serentak. Dua lagi individu yang ditahan pula dijadikan saksi pendakwaan.
Sehubungan itu, ACP Dzulbaharin menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada ketika menyerahkan MyKad kepada mana-mana pihak serta memastikan maklumat peribadi tidak disalahgunakan.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya segera membuat laporan kepada pihak polis sekiranya mengesan sebarang bentuk penyalahgunaan subsidi BUDI MADANI atau aktiviti mencurigakan yang boleh menjejaskan hak penerima bantuan kerajaan.
Katanya, pihak polis akan terus memperhebat pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam penyelewengan subsidi kerajaan bagi memastikan kebajikan penerima yang layak terus terpelihara serta integriti pelaksanaan inisiatif BUDI MADANI tidak dikompromi.
.
