MARITIM MALAYSIA TAHAN KRU TIADA DOKUMEN PENGENALAN DIRI,LESEN TAMAT TEMPOH DAN VESEL NELAYAN TEMPATAN

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU,5 OGOS- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah vesel nelayan tempatan bersama 10 krew warga asing di perairan Pulau Tiga, dekat sini semalam selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah serta beroperasi dengan lesen perikanan yang telah tamat tempoh.

Tindakan itu dilakukan kira-kira jam 5:36 petang pada kedudukan kira-kira dua batu nautika tenggara Pulau Tiga semasa rondaan penguatkuasaan rutin sedang dijalankan.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, pemeriksaan mendapati vesel itu dikendalikan oleh sembilan warga Filipina dan seorang warga Indonesia berusia antara 23 hingga 53 tahun termasuk nakhoda.

“Kesemua krew tersebut gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah di bawah Akta Imigresen 1959/63. Selain itu vesel itu juga didapati beroperasi menggunakan lesen perikanan yang telah tamat tempoh, melanggar peruntukan Akta Perikanan 1985,” katanya.

Beliau berkata kesemua 10 krew bersama vesel berkenaan telah ditahan dan diiring ke jeti Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut. Nilai keseluruhan rampasan dalam operasi itu dianggarkan berjumlah RM300,000.

Menurut beliau, Maritim Malaysia memandang serius setiap pelanggaran undang-undang di perairan negara dan akan terus memperhebatkan rondaan serta operasi penguatkuasaan tanpa sebarang kompromi.

“Semua pemilik vesel, pengusaha dan krew diingatkan supaya memastikan lesen perikanan, permit operasi serta dokumen pengenalan diri adalah sah dan masih berkuat kuasa sebelum menjalankan sebarang aktiviti di laut.

“Kegagalan mematuhi syarat bukan sahaja merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang, malah boleh menyebabkan vesel ditahan serta krew ditangkap dan didakwa. Maritim Malaysia tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan atau cuba mengambil kesempatan di perairan negara,” tegasnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah atau kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah dan W.P. Labuan di talian 088-387 774 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.

Share This Article