KOTA KINABALU,4 OGOS – Kontinjen Sabah menyasarkan pencapaian lebih cemerlang pada Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-22 di Selangor apabila meletakkan sasaran 40 pingat emas hasil persiapan menyeluruh melibatkan atlet, jurulatih dan pengurusan pasukan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, keyakinan itu didorong oleh pembangunan sukan negeri yang semakin mantap serta komitmen semua pihak dalam memastikan Sabah mampu bersaing di peringkat kebangsaan.
Menurut Hajiji, sasaran tersebut bukan sekadar angka sebaliknya mencerminkan keyakinan kerajaan negeri terhadap keupayaan atlet Sabah yang memiliki bakat, pengalaman dan semangat juang tinggi.
Beliau menggesa semua atlet turun ke gelanggang dengan penuh keberanian, fokus serta tekad untuk memberikan persembahan terbaik demi mengharumkan nama negeri.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Negeri Sabah sempena SUKMA Ke-22 Selangor 2026 dan Para SUKMA Selangor 2026 yang berlangsung di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu, hari ini.
Hajiji berkata, pencapaian kontinjen Sabah pada SUKMA Sarawak 2024 yang membawa pulang 29 pingat emas, 36 pingat perak dan 55 pingat gangsa menjadi asas penting untuk meningkatkan prestasi pada temasya kali ini.
Bagi Para SUKMA Selangor 2026 pula, Sabah meletakkan sasaran 66 pingat emas dengan hasrat merampas semula gelaran juara keseluruhan.
Bagi edisi kali ini, kontinjen SUKMA Sabah menghantar seramai 943 anggota yang terdiri daripada 744 atlet, 148 jurulatih dan 51 pengurus pasukan untuk bertanding dalam 36 daripada 37 jenis sukan dipertandingkan. Sementara itu, kontinjen Para SUKMA melibatkan 271 anggota termasuk 154 atlet, dengan sasaran sekurang-kurangnya 80 peratus atlet berjaya membawa pulang pingat.
Pada masa sama, Ketua Menteri mengingatkan bahawa disiplin merupakan elemen paling penting dalam menentukan kejayaan seseorang atlet.
Beliau turut meminta setiap isu yang timbul dalam kontinjen ditangani secara adil dan profesional supaya tidak menjejaskan fokus pasukan, selain menasihatkan atlet menjaga komunikasi dan tingkah laku sepanjang berada di Selangor.
Hajiji turut menegaskan agar atlet tidak mengambil sebarang makanan tambahan atau suplemen tanpa nasihat jurulatih, pegawai perubatan atau pakar bertauliah.
Katanya, penggunaan bahan terlarang bukan sahaja boleh menyebabkan atlet hilang kelayakan bertanding, malah menjejaskan keputusan pertandingan serta merosakkan kerjaya yang dibina selama ini.
Sebagai penghargaan kepada atlet, jurulatih dan keluarga yang banyak berkorban sepanjang tempoh persiapan, kerajaan negeri akan meneruskan kadar insentif kemenangan yang diperkenalkan pada SUKMA Sarawak 2024, termasuk ganjaran RM10,000 bagi setiap pemenang pingat emas.
Sehubungan itu beliau turut menyeru seluruh kontinjen Sabah melangkah ke Selangor dengan satu hati, satu semangat dan satu matlamat untuk memburu setiap peluang kemenangan serta membuktikan Sabah mampu berdiri sebaris dengan negeri-negeri terbaik dalam arena sukan negara.
