POLIS SABAH TUMPASKAN SINDIKET DADAH ANTARABANGSA, RAMPAS 329 KG SYABU DI SEMPORNA

sabahheadlines
2 Min Read

SEMPORNA,3 OGOS – Polis Sabah terus mempergiat usaha membanteras sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang dipercayai menjadikan negeri ini sebagai lokasi transit, menerusi kerjasama rapat dengan pelbagai agensi penguat kuasa.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, sepanjang Januari hingga Ogos tahun ini, polis berjaya merampas kira-kira empat tan dadah disyaki syabu dengan nilai anggaran RM18 juta menerusi beberapa siri operasi khas Op Bayu.

Beliau berkata, operasi berkenaan turut membawa kepada penahanan beberapa individu yang kini sedang berdepan pertuduhan di mahkamah.

“Walaupun kita tidak dapat menafikan masih terdapat kelompongan di kawasan tertentu, namun berdasarkan pengalaman Op Bayu 1 hingga Op Bayu 12, kita akan berusaha sedaya upaya memastikan dadah tidak memasuki Negeri Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai rampasan 329 kilogram dadah disyaki syabu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna, pada Isnin.

Menurut Jauteh, siasatan awal mendapati dadah berkenaan dipercayai berasal dari kawasan Segi Tiga Emas yang melibatkan Myanmar, Thailand dan Laos sebelum diseludup ke Sabah.

“Kita mengesyaki dadah ini datang daripada Segi Tiga Emas, iaitu Myanmar, Thailand dan juga Laos,” katanya.

Dalam operasi terbaharu itu, polis menahan enam individu di Semporna dan Tawau, termasuk sepasang suami isteri warga tempatan yang dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah.

Turut dirampas ialah sejumlah wang tunai, barang kemas serta beberapa buah kenderaan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti jenayah tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman berat terhadap kesalahan mengedar dadah. -Kredit Dakwat Rakyat Post

Share This Article