PAPAR, 28 JULAI – Projek menaik taraf Jalan Lok Kawi dari Bulatan Sabindo ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kinarut bernilai RM70.6 juta dijangka mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas dan meningkatkan keselamatan pengguna di Koridor Lok Kawi-Pengalat-Papar yang semakin pesat berkembang.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, projek berkenaan membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam memperkukuh pembangunan infrastruktur jalan raya di Sabah.
Beliau menjelaskan kawasan Koridor Lok Kawi-Pengalat-Papar kini menjadi antara lokasi yang berkembang pesat dengan pertambahan kawasan perumahan, premis kerajaan, sekolah serta produk pelancongan.
“Sebagai kerajaan, kita sentiasa berusaha merancang dan melaksanakan pembangunan yang memberi manfaat serta meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Naik Taraf Jalan Lok Kawi dari Bulatan Sabindo ke SMK Kinarut di Galeri Pameran WSG Kinarut, di sini.
Projek sepanjang 1.3 kilometer itu melibatkan pembaikan daripada dua lorong kepada empat lorong dua hala, yang mana skopnya turut memberi penekanan khusus kepada aspek keselamatan pengguna.
Antara kemudahan yang bakal disediakan termasuk pembinaan jejantas pejalan kaki, laluan berbumbung ke sekolah, hentian bas serta tempat perlindungan motosikal demi kegunaan pelajar dan orang awam.
Bagi memastikan kelancaran projek, Hajiji memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan memberikan kerjasama penuh dalam urusan pengambilan tanah dan pengalihan utiliti.
Beliau turut menggesa semua jabatan dan agensi teknikal yang terlibat agar bertindak pantas menyelesaikan sebarang isu teknikal supaya kerja-kerja pembinaan dapat disiapkan mengikut jadual tanpa terhalang oleh kerenah birokrasi.
Menurutnya, pembangunan infrastruktur jalan raya yang cekap amat penting bagi merangsang pelaburan dan sektor pelancongan, selain memendekkan masa perjalanan seiring dengan matlamat Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Tambah beliau, Papar berpotensi menjadi lokasi persinggahan utama pelawat dari Brunei dan Sarawak apabila Lebuhraya Pan Borneo siap sepenuhnya kelak.
Dalam majlis sama, Hajiji turut mengumumkan kelulusan Projek Jambatan Papar Ke-2 serta Kerja Kecemasan Penambakan Batu dan Perlindungan Tebing Sungai Intake Kogopon yang dimohon oleh Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali demi kepentingan rakyat tempatan.
