11 MANGSA TERPERANGKAP BANJIR DI KAMPUNG TERASING BERJAYA DISELAMATKAN

sabahheadlines
2 Min Read

TAWAU,25 JULAI-Seramai 11 mangsa berjaya diselamatkan pasukan bomba selepas terperangkap akibat banjir di Kampung Terasing, Batu 17, Tawau, pagi tadi.

Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 10.57 pagi melalui talian balai sebelum tiba di lokasi pada jam 11.15 pagi, kira-kira 38 kilometer dari balai.

Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati kejadian banjir benar-benar berlaku dan terdapat 11 mangsa terperangkap di kawasan berkenaan.

Mangsa terdiri daripada tujuh lelaki dewasa, dua perempuan dewasa dan dua kanak-kanak lelaki.

Kesemua mangsa berjaya diselamatkan dan dipindahkan ke kawasan yang lebih selamat.

Operasi yang membabitkan 10 anggota BBP Tawau itu diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Al Mujid Ali Baba, dengan kekuatan sebuah jentera FRT membabitkan tujuh anggota, sebuah kenderaan utiliti Vigo dengan tiga anggota serta sebuah bot YAPIEM.

Selepas memastikan keadaan di lokasi kejadian selamat dan terkawal, pasukan bomba kemudiannya bergerak ke Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Apas Balung, Tawau bagi menjalankan pemantauan serta operasi penyelamatan susulan kejadian banjir di kawasan berkenaan.

Operasi di Kampung Terasing tamat pada jam 12.32 tengah hari.

JBPM Sabah memaklumkan pemantauan dan tindakan menyelamat akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa mengikut keadaan banjir di kawasan terjejas.

Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan sekiranya keadaan air semakin meningkat.

Share This Article