KOTA KINABALU, 20 JULAI – Lebih 18,000 penduduk di Bahagian Kota Kinabalu terus mendapat manfaat daripada pelbagai skim kebajikan apabila bantuan bernilai RM48.62 juta disalurkan sehingga Jun tahun ini bagi meringankan beban kos sara hidup golongan yang memerlukan.
Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Rina Jainal berkata, bantuan berkenaan disalurkan menerusi lapan skim kebajikan di bawah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) dengan melibatkan peruntukan daripada kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.
Menurutnya, Skim Bantuan Am Negeri (SBAM) merekodkan jumlah penerima tertinggi bagi bantuan kerajaan negeri dengan seramai 6,489 penerima di Bahagian Kota Kinabalu.
Sementara itu Bantuan Warga Emas (BWE) menjadi skim terbesar di bawah bantuan Persekutuan dengan seramai 7,196 penerima.
Beliau berkata, kerajaan negeri bersama Kerajaan Persekutuan sentiasa menilai dan menyemak semula syarat kelayakan penerima bantuan berdasarkan Panduan Garis Kemiskinan (PGK) semasa bagi memastikan bantuan disalurkan kepada individu yang benar-benar memerlukan.
“Semakan ini penting supaya sistem penyampaian bantuan kebajikan sentiasa selaras dengan keadaan semasa terutama dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Grace Lee Li Mei pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Rina yang juga ADUN Kukusan berkata, kerajaan negeri ketika ini masih mengekalkan kadar bantuan kebajikan negeri antara RM200 hingga RM350 sebulan.
Bagaimanapun katanya, sebarang pertambahan peruntukan bagi bantuan berkenaan bergantung kepada kedudukan kewangan semasa kerajaan negeri.
“Bagi bantuan kebajikan Persekutuan pula sebarang kenaikan kadar bantuan adalah tertakluk kepada keputusan yang diumumkan oleh Perdana Menteri menerusi pembentangan Belanjawan Persekutuan di Parlimen,” katanya.
Menurut beliau, langkah penambahbaikan terhadap kriteria kelayakan penerima diharap dapat memastikan lebih ramai golongan yang layak terus mendapat akses kepada bantuan kebajikan yang diperlukan.
Katanya, kerajaan akan terus memperkukuh sistem penyampaian bantuan supaya ia lebih berkesan, bersasar dan mampu membantu rakyat yang berdepan cabaran ekonomi semasa.
