KOS DIESEL MENINGKAT, KERAJAAN PERSEKUTUAN DIGESA LINDUNGI INDUSTRI PELANCONGAN SABAH

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU, 20 JULAI — Kerajaan Persekutuan digesa mempertimbangkan semula pelaksanaan subsidi diesel kepada pengusaha pelancongan di Sabah bagi mengelakkan industri berkenaan terjejas akibat peningkatan kos operasi.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, isu berkenaan perlu diberi perhatian serius berikutan sebahagian besar pengusaha pelancongan di negeri ini terutama di kawasan pulau dan luar bandar bergantung kepada diesel untuk menjalankan operasi harian.

Menurut beliau, diesel digunakan bagi menggerakkan bot pelancongan, menjana bekalan elektrik serta menyokong kelancaran operasi perniagaan yang menjadi sumber pendapatan ramai pengusaha tempatan.

“Sekiranya tiada penyelesaian segera diberikan ramai pengusaha akan berdepan tekanan kewangan yang serius.

“Lebih membimbangkan, ada yang mungkin terpaksa mengurangkan operasi, memberhentikan pekerja malah menutup perniagaan seperti yang berlaku ketika pandemik COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, industri pelancongan Sabah yang sedang kembali pulih selepas pandemik tidak seharusnya berdepan cabaran baharu akibat peningkatan kos operasi yang semakin membebankan.

Katanya, sektor pelancongan merupakan antara tunggak utama ekonomi Sabah dengan sumbangan kira-kira 12 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri, menjana sehingga RM13.7 bilion hasil tahunan serta menyediakan sekitar 387,600 peluang pekerjaan atau lebih 22 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja negeri.

“Ini adalah soal kelangsungan ekonomi negeri, kelangsungan ribuan perusahaan tempatan serta mata pencarian ratusan ribu rakyat Sabah yang bergantung secara langsung dan tidak langsung kepada industri pelancongan,” katanya.

Jafry berkata, kerajaan negeri berharap Kerajaan Persekutuan dapat mengambil kira realiti geografi Sabah serta keunikan operasi industri pelancongan negeri dengan memperkenalkan mekanisme subsidi diesel yang lebih adil, fleksibel dan bersasar kepada pengusaha yang benar-benar layak.

Beliau menegaskan, perlindungan terhadap industri pelancongan hari ini penting bagi memastikan ekonomi Sabah terus berkembang pada masa hadapan.

“Kerajaan Negeri akan terus membawa suara pemain industri dan berharap Kerajaan Persekutuan dapat bertindak segera demi memastikan sektor pelancongan Sabah terus kekal berdaya saing, mampan dan menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.

Share This Article