SANDAKAN, 15 JULAI – Sanggar Cendana Production bakal mementaskan teater komedi keluarga Haji Bakhil, sebuah karya yang mengangkat nostalgia era 1960-an menerusi gabungan unsur jenaka, sindiran masyarakat dan nilai-nilai murni.
Pementasan yang dijadual berlangsung pada 27 Julai ini di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Sandakan bermula jam 8 malam menampilkan barisan pelakon muda daripada Sekolah Seni Malaysia Sabah yang bakal mempersembahkan bakat mereka di pentas.
Naskah yang diadaptasi daripada karya agung Molière itu telah diolah dan diarahkan oleh Shazalee Osman dengan mengekalkan elemen komedi yang dekat dengan kehidupan masyarakat di samping menyelitkan pengajaran menerusi jalan cerita yang penuh kejutan.
Pementasan ini dianjurkan sebagai platform praktikal kepada murid sekolah seni untuk mengaplikasikan ilmu dan kemahiran yang dipelajari dalam bidang lakonan, teknikal pentas serta pengurusan produk selain memupuk keyakinan mereka melalui pengalaman sebenar di pentas.
Selain menjadi medium hiburan, pementasan tersebut turut membawa mesej pendidikan dengan mengetengahkan pemeliharaan budaya, adab dan nilai-nilai murni, di samping menjadikan teater sebagai medium menyampaikan kritikan sosial secara berhemah menerusi elemen satira.
Pengurus Produksi, Hasnia Bakre berkata pemilihan genre komedi dibuat kerana ia mampu menarik minat penonton daripada pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira usia.
Menurut beliau, pendekatan santai yang diselitkan dengan sindiran sosial membolehkan mesej yang ingin disampaikan diterima dengan lebih mudah sekali gus menjadikan Haji Bakhil sebuah naskhah yang sesuai ditonton seisi keluarga.
Sementara itu Ketua Bidang Teater, Nurain Lambertus Guna Hala, mengajak orang ramai hadir memberikan sokongan kepada bakat-bakat muda tempatan yang sedang mengembangkan potensi mereka dalam bidang seni persembahan.
Beliau berkata sokongan masyarakat amat penting bagi menyemarakkan perkembangan seni teater tempatan serta menjadi pembakar semangat kepada generasi pelapis untuk terus berkarya.
Orang ramai yang berminat boleh mendapatkan tiket berharga RM15 bagi menyaksikan pementasan yang dijangka menghidupkan kembali nostalgia era 60-an dengan persembahan yang menghiburkan dan sarat dengan pengajaran.
