BOT NELAYAN DITAHAN MENUNDA PUKAT DI ZON LARANGAN, RAMPASAN RM450,000-APMM

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU, 11 JULAI – Tindakan sebuah bot nelayan tempatan menjalankan aktiviti menunda pukat di kawasan larangan membawa padah apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam operasi penguatkuasaan di perairan Kota Kinabalu, kelmarin.

Bot berkenaan berjaya dikesan hasil keberkesanan Sistem Pengawasan Laut Sabah (SWASLA) yang mengesan tiga sasaran mencurigakan dipercayai menjalankan aktiviti menunda pukat kurang daripada tiga batu nautika dari pantai di perairan barat Tanjung Tombongon.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, hasil maklumat daripada sistem berkenaan, pasukan operasi berjaya mengesan dan memeriksa sebuah bot nelayan tempatan yang sedang menarik pukat pada kedudukan kira-kira 1.86 batu nautika dari daratan.

Katanya, jarak itu melanggar syarat sah lesen vesel perikanan yang menetapkan aktiviti berkenaan hanya dibenarkan melebihi tiga batu nautika dari pantai.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan tujuh kru berusia antara 20 hingga 60 tahun, terdiri daripada seorang warga tempatan, empat warga Indonesia dan dua individu yang memiliki dokumen pengenalan diri yang diragui,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati bot berkenaan melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti menarik pukat di kawasan larangan manakala dua individu terbabit turut disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/1963 kerana memiliki dokumen pengenalan diri yang diragui.

Bot terbabit bersama tujuh kru, peralatan menangkap ikan serta hasil tangkapan kemudian ditahan dan diiring ke jeti Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM450,000.
Maritim Malaysia menegaskan pihaknya akan terus mempergiat rondaan dan penguatkuasaan di seluruh perairan Sabah bagi membanteras aktiviti perikanan yang melanggar syarat pelesenan serta kesalahan lain demi memastikan kelestarian sumber perikanan negara dan keselamatan perairan sentiasa terpelihara.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan di laut diminta menyalurkannya kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan atau menghubungi talian kecemasan 999 bagi tindakan segera.

Share This Article