LAHAD DATU, 11 JULAI – Kerajaan Negeri akan meneliti secara menyeluruh isu berkaitan tapak pembinaan Masjid Palm Height bagi memastikan sebarang keputusan yang diambil dibuat mengikut lunas undang-undang serta mengambil kira kepentingan semua pihak.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Haji Arifin Arif berkata, perbincangan akan diadakan bersama Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) sebelum sebarang tindakan lanjut diputuskan.
“Insya-Allah, saya akan berbincang dengan SKN dan pihak JHEAINS. Saya berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Jelajah Aspirasi Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) di Lahad Datu yang merupakan siri ke-16 daripada keseluruhan 25 daerah yang dijadualkan dilawati di seluruh Sabah.
Isu berkenaan mendapat perhatian selepas Mahkamah Tinggi Tawau dilaporkan mengeluarkan perintah supaya kerja-kerja pembinaan di tapak cadangan Masjid Palm Height tidak diteruskan sementara susulan pertikaian berkaitan lokasi projek tersebut.
Pertikaian itu timbul susulan dakwaan bahawa tapak pembinaan berkenaan berada di kawasan Open Space B yang diperuntukkan sebagai kawasan rekreasi awam dalam pelan pembangunan Taman Perumahan Palm Height.
Perkembangan itu menarik perhatian pelbagai pihak yang berharap penyelesaian dapat dicapai secara harmoni, telus dan selaras dengan peruntukan undang-undang.
Dalam perkembangan lain, Arifin berkata KKTP Sabah terus memperkukuh pemantauan terhadap projek perumahan yang lewat, terbengkalai serta isu berkaitan hak milik strata bagi memastikan kepentingan pembeli rumah terus dilindungi.
Menurut beliau beberapa projek pembangunan perumahan termasuk di sekitar Kota Kinabalu telah dikenal pasti memerlukan perhatian segera dan kementerian sedang meneliti setiap isu secara menyeluruh.
Katanya, laporan terperinci akan diperoleh daripada pegawai daerah yang juga Pengerusi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi mengenal pasti punca permasalahan sebelum tindakan susulan diambil.
“Saya yakin pihak berkuasa tempatan sedang berusaha mencari jalan terbaik untuk mengatasi isu-isu berkenaan.
“Kementerian akan terus memantau dan mengenal pasti langkah yang sesuai bagi membantu golongan yang terkesan,” katanya.
Mengulas mengenai Jelajah Aspirasi KKTP, Arifin berkata program itu menjadi platform kementerian untuk turun padang meninjau pelaksanaan projek pembangunan, selain mendengar sendiri isu dan cabaran yang dihadapi pihak berkuasa tempatan di setiap daerah.
Beliau berkata, siri jelajah itu akan diteruskan ke beberapa daerah di kawasan Pedalaman Atas termasuk Tambunan, Tenom, Nabawan dan Keningau sebelum berakhir di daerah-daerah Pantai Barat termasuk Ranau.
Terdahulu beliau melakukan lawatan keLahad Datu,Kunak dan Tawau.
Sementara itu di majlis sama, Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Lahad Datu, Harun Ariffin menyampaikan taklimat mengenai pelan pembangunan daerah serta isu dan cabaran yang sedang dihadapi oleh pihak majlis dalam usaha memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
