SABAH PERKASA PENCARIAN BAKAT SUKAN-NIZAM

sabahheadlines
3 Min Read

LAHAD DATU, 9 JULAI – Kerajaan Sabah terus memperkukuh pembangunan sukan negeri menerusi usaha agresif mencungkil bakat baharu di peringkat akar umbi selain menaik taraf kemudahan sukan bagi melahirkan lebih ramai atlet berpotensi.

Menteri Pembangunan Belia, Sukan dan Industri Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam bin Datuk Seri Panglima Abu Bakar Titingan berkata, usaha itu dilaksanakan menerusi pelbagai program pencarian bakat yang dipertanggungjawabkan kepada Majlis Sukan Negeri Sabah (MSNS).

Menurut beliau, pembangunan sukan tidak boleh bergantung kepada agensi kerajaan semata-mata sebaliknya memerlukan sokongan ibu bapa untuk menggalakkan anak-anak menyertai pertandingan dan aktiviti sukan sejak usia muda.

Katanya, penyertaan awal dalam pelbagai kejohanan mampu mencungkil bakat baharu serta menyemai minat dalam bidang sukan seperti olahraga, bola sepak dan pelbagai disiplin lain yang berpotensi membawa kejayaan kepada atlet serta negeri Sabah.

“Pencarian bakat perlu dilaksanakan secara berterusan di peringkat akar umbi supaya lebih ramai atlet pelapis dapat dibentuk bagi memastikan kesinambungan kecemerlangan sukan Sabah pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media sempena lawatan kerja rasmi pertamanya ke Kompleks Sukan Lahad Datu dan Arena Belia Lahad Datu dalam program Jelajah Kementerian Pembangunan Belia, Sukan dan Industri Kreatif Sabah (KBSK), pada Khamis.

Dalam lawatan itu, beliau meninjau sendiri keadaan kemudahan sukan dan aktiviti pembangunan belia di daerah berkenaan selain mendengar taklimat daripada pihak pengurusan kompleks mengenai keperluan menaik taraf beberapa kemudahan sedia ada.

Mengulas mengenai pembangunan infrastruktur sukan di Lahad Datu, Nizam berkata gelanggang serbaguna berbumbung di Kompleks Sukan Lahad Datu kini hampir siap sepenuhnya dan bakal memberi manfaat kepada masyarakat sebagai lokasi pelbagai aktiviti sukan dan kemasyarakatan.
Beliau turut menegaskan aspek penyelenggaraan, keselamatan dan kebersihan semua kemudahan sukan perlu diberi perhatian bagi memastikan ia sentiasa berada dalam keadaan terbaik untuk digunakan orang ramai.

Pada masa sama beliau memaklumkan semua cadangan penambahbaikan termasuk pembinaan dewan serbaguna tertutup serta menaik taraf jalan masuk ke Kompleks Sukan Lahad Datu akan diteliti sebelum keutamaan pelaksanaannya diputuskan.

Sebagai komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkasakan pembangunan sukan sebanyak 19 kompleks sukan di seluruh Sabah termasuk di Tongod dan Sook akan dinaik taraf secara berperingkat bagi menyediakan kemudahan yang lebih kondusif kepada atlet dan masyarakat.

Usaha berterusan itu diyakini bukan sahaja memperkukuh ekosistem pembangunan sukan negeri malah menjadi pemangkin dalam melahirkan lebih ramai atlet berkualiti yang mampu mengangkat nama Sabah ke tahap lebih cemerlang pada masa hadapan.

Share This Article