KOTA KINABALU, 8 JULAI – Komitmen dan kesepaduan seluruh penjawat awam dikenal pasti sebagai faktor utama dalam memastikan kejayaan pelaksanaan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang memberi tumpuan kepada pembangunan berimpak tinggi demi kesejahteraan rakyat.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman berkata, kejayaan sesebuah kerajaan bukan hanya bergantung kepada dasar yang dirangka, tetapi sejauh mana pelaksanaannya mampu membawa perubahan positif kepada kehidupan rakyat.
Beliau menegaskan budaya bekerja secara berasingan atau silo mentality perlu ditinggalkan dan digantikan dengan pendekatan kolaboratif melibatkan kementerian, jabatan serta agensi kerajaan
selain memperkukuh kerjasama strategik bersama sektor swasta, institusi akademik dan komuniti.
Menurut beliau, komunikasi strategik, pelaporan prestasi yang telus serta penggunaan dashboard pemantauan dan perkongsian data yang berkesan turut menjadi elemen penting bagi memastikan setiap dasar dapat dipantau, dinilai dan ditambah baik secara berterusan.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Sankalpa Sabah 2030: Forum Pelaksanaan Strategik Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 di Sabah International Convention Centre (SICC), pada Selasa.
Dalam perkembangan sama, Zainudin berkata pendigitalan dan penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) akan menjadi pemboleh daya strategik SMJ 2.0 bagi meningkatkan kecekapan pentadbiran, produktiviti serta memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Beliau turut memaklumkan bahawa hasil pertemuan dengan Ketua Setiausaha Negara pada 6 Julai lalu menyaksikan persetujuan terhadap beberapa inisiatif penting, termasuk pelaksanaan Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) untuk mempercepat pengurusan projek di Sabah, selain cadangan pewujudan hampir 300 jawatan melibatkan 26 agensi di bawah pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Katanya, SMJ 2.0 dibangunkan berasaskan tiga teras utama iaitu pertumbuhan ekonomi, modal insan dan kesejahteraan rakyat, serta jaringan infrastruktur dan kelestarian hijau, yang disokong melalui pemanfaatan AI, ekonomi biru dan pembangunan inklusif bagi memastikan kemajuan yang seimbang di seluruh Sabah.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua kementerian, jabatan dan agensi negeri menyelaraskan pelan strategik serta KPI masing-masing dengan hala tuju SMJ 2.0 bagi memastikan setiap inisiatif dilaksanakan secara lebih pantas, berkesan dan memberi impak langsung kepada rakyat Sabah.
