KOTA KINABALU, 8 JULAI-Keupayaan negara dalam menghadapi bencana maritim terus diperkukuh menerusi pelaksanaan Search and Rescue Exercise (SAREX) Ex Limbawan 2026 yang menghimpunkan 31 agensi kerajaan serta rakan industri bagi menguji kesiapsiagaan operasi mencari dan menyelamat secara bersepadu,pada rabu.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerusi Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu menganjurkan latihan itu dengan kerjasama strategik PETRONAS dan PTTEP Sabah Oil Limited.
SAREX Ex Limbawan 2026 merupakan latihan Maritime Mass Rescue Operation (MMRO) pertama di Sabah yang melibatkan kira-kira 200 peserta daripada 31 agensi kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan rakan industri.
Latihan dijalankan serentak di Hotel Le Meridien Kota Kinabalu sebagai Pusat Koordinasi, Jeti Maritim Sepanggar sebagai Pangkalan Operasi CARILAMAT dan perairan Kota Kinabalu sebagai lokasi simulasi operasi.
Senario latihan mensimulasikan kemalangan di pelantar minyak FPSO Kikeh apabila sebuah Accommodation Work Barge mengalami kerosakan sistem pemacu sebelum melanggar pelantar sekali gus mencetuskan insiden Maritime Mass Rescue Operation ( MMRO) membabitkan 382 kru.
Sebanyak 19 aset laut dan darat digerakkan sepanjang latihan melibatkan Maritim Malaysia bersama Polis Diraja Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Perikanan Malaysia serta syarikat industri berkaitan.
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Bin Abd Majid@ Razali berkata latihan itu bertujuan menguji keberkesanan Pelan Maritime Mass Rescue Operation 2022, Prosedur Tetap Operasi CARILAMAT dan garis panduan OMSAR di samping memperkukuh koordinasi, komunikasi serta kecekapan semua agensi dalam mengendalikan insiden kecemasan di laut.
Menurutnya,pengalaman dan penambahbaikan hasil eksesais itu akan dimanfaatkan bagi memperkukuhkan keupayaan operasi mencari dan menyelamat negara serta memastikan setiap agensi sentiasa bersedia menghadapi sebarang bencana maritim pada masa hadapan.
