PERPADUAN, KEHARMONIAN ASAS PEMBANGUNAN NEGERI-HAJIJI

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU,13 JUN-Perpaduan dan keharmonian menjadi asas kepada pembangunan negeri ini,kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Beliau berkata, kerajaan komited dalam memastikan perpaduan dan keharmonian terus menjadi asas kepada pembangunan negeri.

Katanya, kerajaan sentiasa menyokong program yang berunsur perpaduan yang mempertemukan rakyat daripada pelbagai latar belakang.

“Kita juga turut mengangkat aspirasi Malaysia MADANI – yang mengutamakan konsep kesejahteraan, ihsan, hormat menghormati dan kemampanan dalam pembangunan negara sebagai asas keutuhan perpaduan dan kemakmuran bersama,” katanya pada Minggu Perpaduan Kebangsaan di perkarangan Kompleks Sukan Likas di sini hari ini.

Hajiji berkata pemilihan pemilihan Sabah sebagai tuan rumah sambutan Minggu Perpaduan peringkat kebangsaan tahun ini merupakan satu penghormatan besar kepada negeri ini.

“Pada masa sama, ia juga merupakan satu pengiktirafan terhadap budaya kehidupan masyarakat Sabah yang sejak sekian lama menjadikan keharmonian dan kebersamaan sebagai satu cara hidup warisan turun temurun,” katanya, sambil menambah inilah juga sumbangan terbesar Sabah kepada pembinaan negara bangsa Malaysia.

“Kita juga melihat saudara-saudara kita dari Semenanjung dan Sarawak, bersama-sama di sini, bukan hanya sebagai tetamu, tetapi juga sebagai satu keluarga besar Malaysia,” katanya.

Ketua Menteri mengajak semua untuk menyelami serta mentafsir semula erti perpaduan sebagai persediaan mendepani masa depan yang lebih mencabar.

“Perpaduan sebenar tidak lagi boleh diukur sekadar pada budi bahasa yang indah atau batas toleransi yang pasif.

“Sebaliknya, perpaduan yang tulen menuntut tindakan yang nyata, komitmen yang berterusan, keikhlasan, rasa saling menghormati, dan yang paling utama ialah terjaminnya keadilan sosioekonomi serta kesaksamaan bagi setiap wilayah.

“Sesebuah institusi keluarga, apatah lagi sebuah negara bangsa besar yang bersifat majmuk seperti Malaysia, hanya akan benar-benar utuh dan teguh apabila setiap ahlinya; atau setiap negeri dan wilayahnya, merasakan diri mereka secara mutlak dihargai, dilindungi dan dibangunkan secara adil dan saksama,” katanya lagi.

Share This Article