SANDAKAN,14 JUN- Permohonan dikemukakan agar perobohan rumah dan gerai di Kampung Gayan Sibugal ditangguhkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila, Datuk Haji Hazem Mubarak Tun Musa berkata, permohonan itu dikemukakan kepada jabatan tanah.
“Kita memohon penangguhan selama enam bulan kepada jabatan tanah …kita mahu penduduk yang terlibat diberikan masa membuat persediaan untuk berpindah ,” katanya kepada media di sini hari ini.
Hazem sebelum itu telah melawat dan mengadakan perjumpaan dengan penduduk di kampung itu.
Kunjungan Hazem itu turut disertai oleh jabatan tanah, Majlis Perbandaran Sandakan dan beberapa agensi kerajaan yang lain.
Beliau berkata, kedatangan mereka itu bertujuan menyelesaikan masalah yang ada.
“Kita perlu bertimbang rasa dan penduduk yang terbabit telah mengemukakan rayuan.
“Kita membuat rayuan agar penangguhan itu …keutamaan kita ialah keharmonian,” katanya.
Hazem berkata, dalam tempoh penangguhan itu, usaha untuk membantu penduduk terbabit akan dilakukan.
Katanya, ia termasuklah mencari tanah untuk dimohon oleh penduduk terbabit “dengan cara yang baik dan betul.”
Mengenai soalan yang membabitkan golongan peniaga, Hazem berkata mereka dibenarkan untuk berniaga dalam tempoh penangguhan itu.
Katanya, ada diantara mereka telahpun merobohkan kedai mereka tetapi memohon untuk berjualan dengan menggunakan kanopy.
“Mereka dibenarkan berniaga sepanjang tempoh penangguhan itu dan MPS telah mencadangkan kawasan tapak untuk mereka berniaga.
“Mereka boleh memohon dan kita akan buat secara lebih teratur mengikut agihan lot,” katanya lagi.
Hazem juga memberitahu, pada perjumpaan itu penduduk kampung turut menyuarakan masalah lain.
Katanya, apa yang disuarakan itu akan diberikan perhatian.
