LELAKI DISYAKI POSITIF SYABU DITAHAN, MOTOSIKAL HILANG 2020 DITEMUI

sabahheadlines
2 Min Read

TAWAU, 10 JUN – Seorang lelaki warga tempatan ditahan polis selepas disyaki memiliki dadah jenis syabu, manakala sebuah motosikal yang dilaporkan hilang sejak 2020 berjaya ditemui dalam dua operasi berasingan oleh Strike Team Balai Polis Tawau pada 3 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Polis (ACP) Jasmin Hussin, berkata tangkapan pertama dibuat kira-kira jam 1.30 pagi di kawasan Pasar Taman Semarak ketika rondaan cegah jenayah dijalankan.

Menurut beliau, suspek berusia 32 tahun itu ditahan selepas pemeriksaan menemui satu paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki syabu seberat kira-kira 0.13 gram yang disimpan dalam kotak rokok. Suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dan disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam kejadian berasingan sekitar jam 5 pagi, pasukan sama menemui sebuah motosikal jenis Honda yang ditinggalkan di bawah bangunan terbengkalai di Jalan Kee Abdullah.

Hasil semakan melalui peranti MCAD mendapati motosikal tersebut merupakan kenderaan yang dilaporkan hilang pada 22 Mei 2020, sebelum dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Pihak polis menegaskan usaha rondaan dan operasi cegah jenayah akan terus dipertingkatkan bagi membanteras kegiatan dadah serta jenayah kecurian kenderaan di daerah ini.

Orang ramai turut digesa menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu mengekalkan keselamatan dan kesejahteraan komuniti setempat.

Share This Article