TIGA LELAKI POSITIF DADAH JENIS SYABU DITAHAN DALAM OPS TAPIS DI SANDAKAN

sabahheadlines
1 Min Read

SANDAKAN, 14 APRIL – Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP George B. Abd Rakman menegaskan komitmen berterusan pihak polis dalam membanteras penyalahgunaan dadah di daerah ini apabila tiga lelaki tempatan ditahan dalam satu operasi khas, pagi kelmarin.

Operasi yang dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Sandakan itu di kawasan setinggan Jambatan Merah, Batu 1 1/2.

Dalam serbuan ke atas sebuah rumah tidak bernombor di lokasi berkenaan, dua lelaki ditahan selepas didapati memiliki dadah jenis methamphetamine atau syabu yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. Seorang lagi lelaki turut diberkas kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penagihan dadah.

Semua suspek kemudian dibawa ke pejabat BSJND IPD Sandakan untuk menjalani ujian saringan air kencing yang mana keputusan awal mendapati ketiga-tiga mereka positif dadah jenis methamphetamine.

Berikutan itu kesemua individu berkenaan turut ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) akta yang sama dan kini ditempatkan di lokap IPD Sandakan bagi membantu siasatan lanjut.

Menurut George B. Abd Rakman, operasi seumpama ini akan terus dipergiatkan sebagai langkah proaktif dalam memerangi jenayah dadah sekali gus memastikan keselamatan serta kesejahteraan masyarakat setempat terus terpelihara.

Share This Article