SEMPORNA, 7 JUN – Polis menahan dua individu termasuk seorang wanita warga asing berusia 25 dan 24 tahun selepas disyaki terlibat dalam aktiviti membuat bom ikan dalam satu serbuan di Kampung Hidayat, Pulau Bum Bum, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Tan Hiap Wah berkata, kedua-dua suspek ditahan hasil serbuan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah bersama Balai Polis Pulau Bum Bum sekitar jam 11 pagi.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan di dua buah rumah tidak bernombor itu membawa kepada penemuan pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk menghasilkan bahan letupan tersebut. Selain beberapa barangan turut dirampas.
Kedua-dua suspek kini disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
Polis dalam masa sama menegaskan akan terus mempergiatkan tindakan membanteras aktiviti bom ikan yang bukan sahaja mengancam keselamatan malah merosakkan ekosistem marin di kawasan perairan daerah ini.
