KUDAT, 1 JUN – Lima individu cedera dalam kemalangan jalan raya yang membabitkan lima buah kenderaan di Jalan Kampung Kandawayon, di sini awal pagi tadi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.39 tengah malam sebelum sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat dikejarkan ke lokasi yang terletak kira-kira 30 kilometer dari balai.
Komander Operasi, PBK II Martini Asangki berkata, pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 1.07 pagi dan mendapati kemalangan melibatkan lima kenderaan iaitu sebuah Perodua Axia, sebuah Proton, dua buah Perodua Myvi serta sebuah Toyota Revo.
Menurutnya, seramai lapan mangsa terlibat dalam kejadian itu dengan lima daripadanya mengalami kecederaan, manakala tiga lagi tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mangsa yang cedera terdiri daripada dua lelaki berusia 24 dan 33 tahun yang menaiki Perodua Axia serta tiga penumpang Perodua Myvi berwarna kelabu iaitu seorang wanita berusia 49 tahun dan dua lelaki masing-masing berusia 26 dan 24 tahun.
“Kesemua mangsa yang cedera diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke hospital menggunakan kenderaan Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Sementara itu, pemandu Toyota Revo, pemandu Perodua Myvi berwarna biru dan pemandu Proton dilaporkan selamat serta tidak mengalami sebarang kecederaan.
Operasi turut melibatkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM. Setelah memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.20 pagi.
