WARGA MASJID NUR HIDAYAH BINGKOR HARGAI SUMBANGAN LEMBU KORBAN PEMIMPIN

sabahheadlines
2 Min Read

KENINGAU, 25 MEI – Dalam kemeriahan sambutan Hari Raya Aidiladha, warga Masjid Nur Hidayah Pekan Bingkor menzahirkan rasa syukur dan penghargaan atas sumbangan lembu korban daripada dua pemimpin negeri yang disifatkan mencerminkan semangat kebersamaan serta keprihatinan terhadap rakyat.

Ahli Parlimen P180 Keningau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N39 Tambunan, Jeffrey Kitingan serta ADUN Bingkor merangkap Pembantu Menteri Kewangan Negeri, Mohd Ishak Ayub masing-masing menyumbangkan seekor lembu bagi pelaksanaan ibadah korban dan pengagihan daging kepada penduduk setempat.

Sumbangan berkenaan bukan sahaja membantu mengimarahkan sambutan Aidiladha di kawasan itu malah turut membawa kegembiraan kepada golongan penerima dan memperkukuhkan hubungan silaturahim antara pemimpin serta masyarakat.

Pengerusi Masjid Nur Hidayah Pekan Bingkor, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles berkata, pihaknya mewakili seluruh kariah dan jemaah masjid amat menghargai keprihatinan serta sokongan berterusan yang diberikan oleh kedua-dua pemimpin terbabit.

Menurut beliau, sumbangan itu amat bermakna dalam membantu menjayakan program ibadah korban di masjid berkenaan selain memupuk semangat perpaduan dan kerjasama dalam kalangan masyarakat setempat.

Katanya, semangat kebersamaan dan sikap prihatin yang ditunjukkan menerusi sumbangan tersebut mencerminkan nilai keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan agama di daerah ini.

“Bagi pihak warga Masjid Nur Hidayah Pekan Bingkor, kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas sumbangan yang diberikan.

“Semoga Dr Jeffrey dan Mohd Ishak sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik, dipermudahkan segala urusan serta terus diberkati dalam menjalankan amanah dan khidmat kepada rakyat,” katanya.

Beliau turut berharap amalan kebajikan dan semangat saling membantu seperti itu akan terus diperkukuhkan demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan masyarakat setempat.

Share This Article