KOTA BELUD , 22 MEI-Seorang lelaki yang dipercayai mengalami gangguan emosi berjaya diselamatkan selepas berada di tingkat dua sebuah menara telekomunikasi di Taman Nikmat di sini,kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.37 pagi itu pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud menerima panggilan kecemasan sebelum sepasukan 12 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira empat kilometer dari balai.
Pasukan bomba diketuai Komander Operasi, PBK I Mohd Farhad Abdullah bersama Komander Operasi Kanan, PKPgB Elge Bakuk.
Menurut laporan operasi, jentera bomba tiba di lokasi pada jam 9.43 pagi dan mendapati mangsa berada di tingkat dua menara telekomunikasi dalam keadaan dipercayai kurang siuman serta mengalami gangguan emosi.
Pasukan bomba bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) kemudian menjalankan usaha memujuk mangsa bagi memastikan keadaan terkawal dan mangsa dapat dibawa turun dengan selamat.
Sebagai langkah keselamatan menghadapi sebarang kemungkinan pasukan bomba turut memasang jaring keselamatan di kawasan operasi.
Selepas beberapa jam usaha dijalankan mangsa akhirnya berjaya dibawa turun dalam keadaan selamat sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi yang turut dibantu tiga anggota Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.50 tengah hari selepas pihak bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.
Operasi berkenaan membabitkan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) bersama lapan anggota dan sebuah kenderaan Vigo dengan tiga anggota.
